am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Kementerian Pertahanan masih menunggu laporan siasatan berhubung Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja (TLDM) yang tenggelam, semalam.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal terbabit beroperasi sejak 1979.
“Satu siasatan telah pun dimulakan untuk kita memahami apakah punca-puncanya,” katanya pada sidang media selepas ditemui selepas lawatan ke Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini, hari ini.
“Kita tidak nafikan bahawa usia kapal-kapal kita yang telah terlalu lama tetapi itu bukannya mungkin antara punca… dan yang penting syukur tidak libatkan korban nyawa,”katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sedang gigih memastikan kapal baru yang sedang dibina disiapkan mengikut jadual, di samping membeli kapal-kapal yang baru.
Mohamed Khaled memaklumkan kementeriannya akan membuat pemeriksaan terhadap kapal TLDM yang berusia lebih 40 tahun.
“Kita akan pastikan diteliti betul-betul lebih-lebih lagi kapal yang berusia lebih daripada 40 tahun. Terdapat satu pertiga kapal kita sangat lama usianya.
“Kita juga sedang membina Kapal Tempur Pesisir (LCS), dan dalam proses pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) dari Turkiye.
“Kapal LCS pertama akan beroperasi pada tahun 2026, kita ada lima kapal LCS, Insya-Allah setiap tahun ada satu kapal LCS,”katanya.
Semalam, KD Pendekar tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Johor dan kesemua 39 kru diselamatkan sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
