Jakarta: Lebih 500 pelajar di Jawa Timur dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan kerajaan, kata pegawai wilayah pada Rabu.
Oa ketika ketika kerajaan Indonesia sedang berusaha memperkemas agensi yang mengendalikan program makanan percuma berskala besar itu.
Presiden Prabowo Subianto melancarkan program bernilai berbilion dolar itu tahun lalu bagi membasmi masalah kekurangan zat makanan dengan menyediakan makanan percuma kepada puluhan juta kanak-kanak.
Bagaimanapun, program berkenaan berdepan pelbagai kontroversi termasuk kes keracunan makanan, dakwaan rasuah, perubahan kepimpinan dan kos pelaksanaan yang tinggi.
Di wilayah Sidoarjo, Jawa Timur, lebih 500 pelajar jatuh sakit pada Selasa, kata Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak, kepada saluran berita Kompas TV.
Beliau berkata, Agensi Pemakanan Nasional yang menyelia program makanan percuma itu sedang menyiasat sama ada kejadian berkenaan berpunca daripada makanan tengah hari yang dimakan pelajar terbabit.
Subandi, ketua kerajaan tempatan Sidoarjo, berkata kebanyakan daripada 516 pelajar yang menerima rawatan di hospital sudah dibenarkan pulang.
Beliau berkata, polis turut mengambil sampel makanan berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Terdapat beberapa kes keracunan makanan beramai-ramai yang dikaitkan dengan program berkenaan.
Badan pemantau bukan kerajaan, Network for Education Watch, berkata sehingga 8 Ogos lalu, kira-kira 37,600 kes keracunan makanan dilaporkan berkaitan program itu.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata penyimpanan makanan yang tidak sempurna serta kelewatan penghantaran makanan yang sudah dimasak sering menjadi punca keracunan makanan.
Kejadian keracunan itu berlaku ketika ketua baharu Agensi Pemakanan Nasional berikrar untuk melakukan pembaharuan terhadap program berkenaan.
Agensi itu telah menutup ratusan dapur atas pelbagai sebab, termasuk pelanggaran piawaian kualiti.
Agensi berkenaan belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas mengenai kejadian pelajar jatuh sakit beramai-ramai di Sidoarjo.
Agensi itu turut melalui beberapa perubahan kepimpinan sejak kebelakangan ini, termasuk selepas ketuanya ketika itu ditahan pada Jun atas dakwaan rasuah.
Kerajaan juga telah mengurangkan skop pelaksanaan program berkenaan.
Pelabur sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kos program itu yang berpotensi meningkatkan defisit fiskal negara.
Pada Julai lalu, tinjauan oleh firma pengundian Saiful Mujani Research and Consulting mendapati hanya satu pertiga daripada rakyat berpuas hati dengan program berkenaan, dengan kes keracunan makanan yang dilaporkan menjadi antara sebab utama ketidakpuasan hati.
© New Straits Times Press (M) Bhd

