PRN Melaka: Bekas Pengerusi DAP Melaka, aktivis kesatuan sekerja sertai kempen BERSAMA

PRN Melaka: Bekas Pengerusi DAP Melaka, aktivis kesatuan sekerja sertai kempen BERSAMA

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San dan aktivis veteran kesatuan sekerja, Gopal Kishnam akan menyertai kempen Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata pembabitan kedua-dua tokoh berkenaan akan menjadi sebahagian daripada usaha kempen parti itu.

“BERSAMA ingin mengumumkan pembabitan dua tokoh terkenal dalam kempen kami bagi pilihan raya Melaka.

“Goh yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Melaka dari 2005 hingga 2015, akan menyertai program kempen BERSAMA di Kesidang pada Sabtu ini.

“Program itu akan diadakan di Padang Taman Asean, bertentangan dengan Kuil Xi Ling Gong,” katanya pada sidang media di Ruang Bersama Melaka, Batu Berendam.

Leong San adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP selama empat penggal yang mewakili beberapa kawasan di Melaka sepanjang lebih dua dekad.

Beliau mula berkhidmat sebagai ADUN Tengkera dari 1995 hingga 2004 sebelum mewakili Bandar Hilir dari 2004 hingga 2008.

Selepas itu, beliau mewakili Kesidang dari 2008 hingga 2013 dan Duyong dari 2013 hingga 2018.

Sementara itu, Rafizi berkata Gopal, yang juga tokoh veteran dalam gerakan kesatuan sekerja negara, turut akan terbabit dalam kempen pilihan raya BERSAMA di Melaka.

Gopal kini Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan Industri Berkaitan Kebangsaan (NUTEAIW).

Beliau juga Setiausaha Agung sementara Persekutuan Kesatuan Sekerja Malaysia (MFTU) yang baru ditubuhkan serta bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Rafizi berkata Gopal secara rasmi menyertai BERSAMA sebagai ahli pada bulan lalu. Bagaimanapun, butiran mengenai penglibatannya dalam kempen PRN Melaka masih belum dimuktamadkan.

“Pembabitan beliau dalam kempen pilihan raya Melaka akan diumumkan kemudian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top