am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan memulakan sesi pembelajaran dengan bacaan al-Quran dan terjemahan selama 15 minit setiap hari.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, bacaan dan terjemahan al-Quran itu akan diketuai murid serta pelajar dengan bimbingan dua guru bagi setiap kelas.
Katanya, bacaan dan terjemahan satu muka surat setiap hari itu akan direkodkan dalam rekod pencapaian al-Quran.
“Program al-Quran Di Hati di semua sekolah rendah dan menengah akan dilaksanakan setiap hari selama 15 minit bermula jam 7.30 pagi hingga jam 7.45 pagi.
“Ia membabitkan 352 sekolah rendah dan 154 sekolah menengah yang diadakan bukan sahaja untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran tetapi dapat melahirkan generasi soleh, pintar, rabbani dan murabbi,” katanya.
Jelani berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelancaran al-Quran Di Hati di Sekolah Kebangsaan (SK) Serada di sini, hari ini.
Pelancaran Program al-Quran Di Hati peringkat (JPNT) disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, semua muird Tahun Satu hingga Enam manakala pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga akan mengikuti bacaan al- Quran serta terjemahan ayat di dalam kelas sebelum sesi pembelajaran bermula.
Katanya, program al-Quran Di Hati antara agenda Peneraju Transformasi Pendidikan (PTP) JPNT bagi melahirkan murid dan pelajar membudayakan al-Quran.
“Fokus celik al-Quran perlu seiring dengan akademik, silat bestari, sahsiah terpuji, kemenjadian kokurikulum dan keberkesanan kepimpinan,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd
