Skuad Palestin selesa beraksi di Malaysia

Skuad Palestin selesa beraksi di Malaysia

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan bola sepak Palestin menganggap Malaysia gelanggang rasmi terbaik buat negara itu menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jordan pada 10 September ini.

Perkara itu diakui pemain utama Palestin, Mohammed Bassim Ahmed Rashid yang menyifatkan Malaysia umpama rumah pertama buat mereka selepas melihat sendiri solidariti yang ditunjukkan negara ini kepada Palestin sejak dahulu lagi.

“Sejujurnya saya telah melihat solidariti buat Palestin dalam saingan Liga Super Malaysia.

“Saya lihat Selangor dan Terengganu sebelum ini dan pasukan lain turut memberikan sokongan kepada Palestin. Ketika ini, sukar untuk pasukan beraksi di Palestin dengan situasi semasa.

“Berada di sini sangat memberi manfaat buat kami dan harapnya penyokong terus memberikan sokongan kepada kami seperti sejak sekian lama dahulu,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Ketika ini, skuad kebangsaan Palestin berada di Kuala Lumpur untuk menjalani latihan pusat menjelang dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain menentang Jordan di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras pada 10 September ini, pasukan Palestin terlebih dulu akan terbang ke Seoul untuk bertemu Korea Selatan pada 5 September.

Sementara itu, pengendali Palestin, Makram Daboub menjelaskan mereka hanya mempunyai 15 pemain sahaja ketika ini dengan dua pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC serta seorang yang berpangkalan di Eropah akan menyertai kem latihan hari ini untuk menjadikan jumlah 18 pemain.

Beliau turut menyuarakan rasa syukur dengan layanan diterima di Malaysia dan berharap pemain cepat menyesuaikan diri dan dapat melakukan persiapan rapi menjelang dua perlawanan awal itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top