Sultan Selangor cadang UiTM bangunkan sistem untuk alumni beri sumbangan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan agar satu sistem dibangunkan supaya setiap alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) boleh memberikan sumbangan kepada universiti berkenaan.

Baginda bertitah sumbangan sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun itu adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan ke atas segala jasa bakti UiTM sepanjang tempoh mereka menimba ilmu.

Titah baginda, pada tahun 1965, institusi yang menjadi asas kepada UiTM hari ini hanya mempunyai sekitar 219 penuntut dan 11 orang tenaga pengajar.

“Hari ini, UiTM menjadi antara institusi pengajian tinggi terbesar di negara ini.

“Sehingga kini, jumlah kemasukan penuntut ke UITM mencecah hampir 196,000 orang.

“UiTM melahirkan lebih 40,000 graduan setiap tahun, manakala jumlah keseluruhan alumninya sudah melepasi sejuta orang.

“Dengan jumlah seramai ini, beta yakin sumbangan alumni seharusnya boleh menjadi lebih signifikan.

“Di sini, beta ingin mencadangkan agar satu sistem dibangunkan supaya setiap alumni boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 ringgit setahun kepada UiTM sebagai tanda terima kasih dan penghargaan ke atas segala jasa bakti institusi ini sepanjang tempoh mereka menimba ilmu.

“Beta percaya nilai RM10 itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni, anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja UiTM di sini, hari ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sultan Sharafuddin bertitah, selain digunakan untuk pembangunan UiTM dari pelbagai aspek, dana terkumpul yang boleh menjangkau nilai RM100 juta setahun itu diharapkan dapat digunakan untuk membantu penuntut baharu dan lama yang berdepan dengan cabaran kemiskinan dan kesukaran untuk meneruskan pembiayaan pendidikan.

“Di sinilah, pegangan slogan ‘UiTM Dihatiku’ yang sering dilaungkan setiap penuntut, tenaga pengajar dan alumni dapat dibuktikan dengan nyata.

“Harus diingat, di sebalik setiap angka statistik itu terdapat anak Melayu dan Bumiputera dari kalangan keluarga susah sudah melahirkan satu generasi yang telah berubah kehidupannya melalui pendidikan dan peluang menuntut ilmu di UiTM.

“Kita melihat graduan UiTM hari ini berada di mana-mana dan di setiap industri dan sektor. Mereka menjadi akauntan, jurutera, doktor, peguam, arkitek, ahli akademik, usahawan, penjawat awam, tokoh korporat, penggiat seni dan media serta pemimpin dalam pelbagai bidang.

“Sebahagian daripada mereka menerajui organisasi besar, membina perniagaan, mencipta pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Inilah antara ukuran sebenar kejayaan UiTM,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top