Kumpulan terus kekal biarpun ada anggota yang keluar

Kumpulan terus kekal biarpun ada anggota yang keluar

norhayati_nordin@hmetro.com.my

DUA dekad mengharungi susah payah untuk membina nama, namun ahli sesebuah kumpulan muzik perlu akur dengan keputusan diambil seiring perjalanan masa yang panjang.

Begitulah situasi harus diterima oleh ahli kumpulan 6ixth Sense apabila vokalisnya, Adi Priyo Sambodo, 43, membuat keputusan mahu ‘berehat panjang’ dengan memberi fokus kepada aktiviti seni secara solo.

Malah, sebelum meninggalkan 6ixth Sense, Adi akan tampil buat kali terakhir bersama kumpulan itu menerusi Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu di Idea Live Arena, Damansara pada 23 Januari depan.

Ditubuhkan pada 2005, 6ixth Sense berharap agar konsert istimewa mereka dapat menarik peminat dalam kalangan Generasi Z (Gen Z).

Adi berkata, kebanyakan lagu 6ixth Sense dilihat sesuai dengan jiwa Gen Z dan dia berharap golongan itu dapat datang untuk menyaksikan konsert berkenaan yang pasti menghiburkan.

“Apa pun, sesiapa sahaja yang suka dan meminati muzik 6ixth Sense sangat dialu-alukan hadir menyaksikan konsert istimewa kami sebelum saya berehat panjang untuk bergerak solo.

“Cuma, peminat Gen Z ini kami lihat mereka matang dan terbuka melayan apa sahaja genre muzik. Itu yang seronok dan datanglah menonton Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu.

“Kira-kira 25 lagu akan dipersembahkan, dan 6ixth Sense turut menjemput penyanyi undangan yang buat masa ini dirahsiakan lagi,” katanya.

Selain Adi, 6ixth Sense dianggotai oleh Mohd Faiz Azizi atau Gjie (keyboard), Zairul Azreen Shah (Harry – gitar), Shahrul Effendy (Athan – gitar), Safuan Hasnan (Wan – dram) dan Mohd Fairos (Ayoy – bass).

Mengulas keputusan Adi yang mahu bergerak solo, Athan berkata, semua anggota 6ixth Sense menerima dengan hati terbuka, dan tiada apa perlu dijadikan isu kerana ia adalah hak masing-masing.

“Hubungan antara kami dalam 6ixth Sense ini umpama satu keluarga yang rapat. Mungkin ada juga berlaku salah faham selama kami bersama dan itu biasa, tetapi tidaklah sampai bergaduh besar.

“Dalam kumpulan yang ada beberapa orang bergabung, mesti cara pemikiran dan pendapat ada yang berbeza, namun kami semua pasti sudah matang. Masing-masing bukannya muda lagi.

“Kami doakan Adi akan terus berjaya dalam karier seninya. Kami tidak akan berpecah selepas ketiadaan Adi, cuma mungkin masing-masing sibuk menguruskan perniagaan,” katanya.

Ditanya mengenai pencarian vokalis baharu, Wan berkata, pihaknya belum ada apa-apa perancangan walaupun Adi tidak menghalang 6ixth Sense mencari ‘penggantinya’.

“Adi memang ada meluahkan agar 6ixth Sense mencari penyanyi lain selepas ketiadaannya. Tetapi, memang kami belum buat apa-apa keputusan kerana Adi sebahagian daripada perjuangan 6ixth Sense.

“Sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang dan bertahan lebih 20 tahun dalam industri, Adi ada bersama-sama kami maka jenama 6ixth Sense ini tetap ada Adi, dan sukar cari pengganti,” katanya.

Katanya, mereka akan mempertahankan jenama 6ixth Sense selepas mengharungi pahit jerih membina nama walaupun mungkin tidak bergerak secara aktif lagi agar tidak terkubur.

Jadi inspirasi boleh, guna nama tidak!

Walaupun berlaku perubahan kepada 6ixth Sense selepas ketiadaan penyanyi utama, mereka sama sekali berpandangan positif dan tidak menghalang sekiranya ada band baharu mahu menjadikan inspirasi.

Adi berkata, tiada yang baharu kalau tiada yang lama, dan ia adalah proses kehidupan.

“Kalau nak menjadikan muzik 6ixth Sense sebagai inspirasi okay sahaja, tetapi tidak dengan menggunakan nama kumpulan.

“Nama kumpulan akan terus menjadi hak milik kekal 6ixth Sense. Kami semua sebagai anggota asal, tidak membenarkan atau mengizinkan nama 6ixth Sense diguna oleh mana-mana band baharu.

“Jangan kait dengan nama 6ixth Sense Junior atau sebagainya. Nama 6ixth Sense hanya ada satu sahaja. Kami tegas tidak diizinkan guna nama 6ixth Sense untuk menubuhkan kumpulan,” katanya.

Antara lagu-lagu popular 6ixth Sense yang diminati ramai ialah Khatimah Cinta, Menyesal, Tanpa, Yang Sempurnakanku, Cinta Matiku, Bintang, Selamat Tinggal Cinta dan Tak Bisa Memilihmu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top