Insomniacks 'laungkan' lagu baharu di tiga ibu kota

Insomniacks 'laungkan' lagu baharu di tiga ibu kota

puterialia@hmetro.com.my

KUMPULAN pop rock Insomniacks kini melangkah ke fasa baharu apabila akan melancarkan album sulung berjudul Kami Insomniacks selepas hampir 11 tahun menempa nama dalam industri muzik tempatan.

Pencapaian itu bakal diraikan menerusi kemuncak jelajah pra-album yang dijadualkan berlangsung di Odeon, Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini.

Insomniacks berkata, penghasilan album sulung yang memuatkan 12 lagu itu membawa makna mendalam buat perjalanan seni mereka.

\Menurutnya, album ini sangat bermakna buat mereka kerana akhirnya dapat berkongsi album sulung dengan peminat selepas hampir 11 tahun buat muzik bersama.

“Ia merangkumkan perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini. Kami memang teruja dan tak sabar nak semua orang dengar.

“Banyak yang kami sudah lalui dan pelajari, sebagai individu dan juga sebagai satu kumpulan. Sebab itu, soal perkembangan diri memang dekat dengan kami. Pengalaman dan hubungan dengan orang sekeliling membentuk siapa kami hari ini.

“Banyak yang berubah dari segi bunyi, penulisan lagu dan cara kami buat muzik. Kami suka bereksperimen, tapi untuk album ini, kami nak kukuhkan lagi identiti muzik kami.

“Harapnya, peminat dapat kenal sisi lain Insomniacks sambil masih rasa sentuhan yang mereka kenal selama ini,” katanya dalam kenyataan media.

Album yang mengangkat tema kisah cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri itu turut menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi serta penulis lagu tempatan seperti Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris.

Menjelang pelancaran rasmi, Insomniacks memulakan jelajah pra-album merentasi tiga kota bagi membawakan lagu baharu secara terus kepada peminat.

Siri jelajah membuka tirai di George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini apabila kumpulan itu membuat persembahan akustik sebanyak 13 lagu termasuk enam lagu daripada album baharu di hadapan 300 peminat.

Empat daripada lagu berkenaan boleh diakses lebih awal menerusi laman peminat insomniacks.world.

Gitaris Insomniacks, Dan mengakui persembahan akustik penuh itu memberi cabaran tersendiri buat mereka.

“Sejujurnya, saya agak gementar dan risau sebab ini kali pertama kami bawakan lagu-lagu album ini secara akustik. Sudah lama juga kami tak buat persembahan akustik penuh.

“Tapi selepas selesai, semuanya rasa seronok dan kami memang puas dengan pengalaman itu,” katanya.

Momentum siri jelajah diteruskan di Embrace Hall Music & Art Center, Skudai, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu yang menyaksikan kehadiran lebih 300 penonton.

Peminat turut menyanyi bersama lagu-lagu baharu yang boleh didengar menerusi akses awal di laman peminat mereka.

“Memang seronok dapat bawakan beberapa lagu baharu. Paling istimewa bila penonton ikut menyanyi salah satu lagu terbaharu kami.

“Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, sokongan macam itu memang sangat bermakna buat kami,” kata Dan lagi.

Siri jelajah bakal menemui kemuncaknya di Odeon Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini dengan persembahan 14 lagu yang merangkumi kesemua 12 lagu daripada album Kami Insomniacks serta beberapa lagu pilihan.

Showcase penutup yang diadakan sehari selepas pelancaran album itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 penonton di tempat bertapaknya kumpulan berkenaan.

“Kuala Lumpur memang tempat kami bertapak, jadi setiap kali buat persembahan depan peminat di sini, rasanya cukup istimewa. Dapat akhiri jelajah di tempat sendiri jadi pengalaman ini lebih bermakna.

“Kami mahu semua orang berseronok dan menikmati keseluruhan pengalaman konsert ini,” kongsi Imsomniacks.

Selain persembahan pentas, pengunjung showcase di Kuala Lumpur turut berpeluang mendapatkan ‘beg messenger’ eksklusif Insomniacks yang hanya dijual pada acara berkenaan, di samping barangan rasmi baharu seperti tali rantai kunci, ‘iron-on patch’, serta koleksi terdahulu.

Peminat juga boleh membeli barangan rasmi jelajah secara dalam talian dan mengakses kandungan eksklusif pembikinan album Kami Insomniacks yang boleh didengarkan di semua platform penstriman utama bermula 30 Oktober (esok).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top