am@hmetro.com.my
Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pendang, petang semalam.
PPS di Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya itu dibuka 6 petang dengan menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora di Mukim Bukit Raya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, ia menjadikan jumlah terkini mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 153 mangsa daripada 66 keluarga di dua daerah iaitu Yan dan Pendang, setakat ini.
Di daerah Yan, mangsa dipindahkan ke PPS adalah 127 orang.
“Kesemua mangsa di daerah Yan ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi seramai 74 mangsa daripada 35 keluarga; SJK (C) Pei Eng, seramai 34 orang daripada 15 keluarga dan
di Dewan Lestari Guar Chempedak (19 mangsa daripada 7 keluarga.
“Semua mangsa terbabit dari tiga kampung iaitu Kampung Teroi, Kampung Titi Teras dan Kampung Sedaka Tengah di Mukim Yan dan Sungai Daun,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Pendang kini melepasi paras amaran 2.882 meter (m) berbanding paras normal 2.7 m.
© New Straits Times Press (M) Bhd




