SEOUL – Seorang wanita di Korea Selatan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul teman lelakinya lebih 500 kali dalam tempoh lebih tiga jam.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu didedahkan sebuah program penyiasatan, Unanswered Questions terbitan SBS yang disiarkan pada akhir minggu lalu.
Kes itu disifatkan sebagai pembunuhan melalui penyeksaan dan mangsa digelar sebagai Lim Jan-di, 28, (nama samaran) yang tinggal bersama teman lelakinya, Jeon, 24, di daerah Gangseo-gu, Seoul.
Jeon menghubungi talian kecemasan selepas mendapati pasangannya tidak sedarkan diri ketika kejadian pada 20 Jun lalu.
Pasukan paramedik yang tiba di lokasi dilaporkan mendapati Jan-di mengalami serangan jantung dan menunjukkan tanda-tanda penderaan fizikal yang serius.
Menurut laporan SBS News, hasil bedah siasat mendapati Lim mengalami patah 21 tulang rusuk dan beberapa organ dalaman pecah.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari unit pangsapuri didiami pasangan itu, Jeon memukul teman wanitanya kira-kira 515 kali dalam tempoh tiga jam dan 30 minit.
Pasukan penerbitan turut meneliti fail dan dokumen dalam telefon bimbit mangsa dan mendapati pasangan itu pernah mencipta sebuah ‘negara rekaan’.
Mereka merujuk kepada satu set peraturan digelar ‘gukpeu’ yang dipersetujui bersama bagi mengurangkan pertengkaran.
Antara peraturan yang dipersetujui termasuklah jika salah seorang berbohong, dia tidak lagi layak menerima layanan berperikemanusiaan manakala sebarang penjelasan atau alasan tidak akan diterima sebaik sahaja hukuman dijatuhkan.
Menurut SBS News, Jeon mengaku memukul Jan-di, namun dia tidak berniat untuk membunuh kekasihnya. – Agensi



