SOM kini diletakkan di bawah MSN

SOM kini diletakkan di bawah MSN

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: ‘Special Olympics Malaysia’ (SOM) kini akan diletakkan di bawah penjagaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan mereka menerima bantuan serta segala bantuan sepatutnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN akan bekerjasama dengan SOM bagi memastikan setiap atlet mendapat pendedahan sepatutnya.

Melihat perkembangan semasa, beliau berharap lebih ramai pihak swasta akan tampil menjadi rakan strategik serta penaja untuk membantu atlet di bawah MSN itu mendapat manfaat mereka.

“Di bawah MSN kini kita ada atlet untuk Olimpik, Paralimpik, ‘Deaflympic’ dan tahun lalu, kita sudah mula menyokong ‘Special Olympics Malaysia’ ini.

“Sebab itu kita menyambut baik usaha MST Golf dan Toyota untuk bersama-sama membangunkan atlet SOM dan usaha seperti ini bagus kerana mereka mempunyai fokus selain atlet berkenaan akan diberikan latihan dan peluang untuk bermain golf.

“Apabila MSN diberikan tugas untuk menjaga empat kumpulan ini, bermaksud banyak lagi dana diperlukan untuk pembangunan sukan bagi kumpulan masing-masing dan saya pasti kalau kita tak cukup dana, bantuan daripada pihak swasta sangat membantu.

“Jadi saya berharap semua syarikat di luar kalau ada yang berminat untuk menaja tapi mereka tidak tahu mana nak mula, mereka boleh datang jumpa MSN dan kita boleh berbincang untuk mereka menaja mengikut kemampuan atau memilih atlet yang mereka minat,” katanya.

Malaysia menghantar 22 atlet ke ‘Special Olympics Word Games’ Berlin pada 2023 dan memenangi empat emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Sementara itu, Pengarah Kebangsaan SOM, Kok Lee Min berkata, mereka akan menyediakan atlet untuk kejohanan seterusnya pada 2027 nanti dan berharap atlet akan tampil lebih cemerlang di sana terutama sukan golf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top