am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kempen Bawa Balik Sampah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini mendapat sambutan orang ramai.
Tinjauan mendapati pengunjung mengutip sampah selepas selesai acara sambutan melalui plastik sampah yang disediakan.
Bekas anggota tentera dari Setiawangsa, Zamri Ali, 54, berkata dia mengetahui kempen itu melalui media sosial dan pengumuman yang dibuat pihak penganjur ketika acara sambutan berlangsung.
Menurutnya, dia terpanggil untuk mengutip sampah yang ditinggalkan pengunjung bagi membantu meringankan beban pekerja kebersihan mengutip sampah selepas acara tamat.
Katanya, kebiasaannya orang ramai akan meninggalkan sisa sampah seperti botol minuman dan bekas makanan sehingga mencacatkan pandangan.
“Kempen diadakan ini sangat baik bagi mendidik orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di tempat awam, “katanya.
Kempen Bawa Balik Sampah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 ini diadakan atas inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui syarikat konsesi Alam Flora.
Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pihaknya menyediakan 200 petugas kebersihan, 650 tong sampah dan 100 tong sampah mudah alih dan 11 tong sampah besar roro.
Katanya, inisiatif ini bagi menjadikan pusat pentadbiran kerajaan di sini sentiasa bersih dan indah di mata pengunjung.
“Selain itu, kempen ini juga menggalakkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

