am@hmetro.com.my
Kota Bharu : Kira-kira 20,000 pengunjung memenuhi ruang dalam Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri Kelantan, malam tadi.
Sebanyak 69 kontinjen terbabit dalam perarakan yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain perarakan kontinjen, pelbagai acara lain menjadi pengisian dan paling mendapat perhatian adalah persembahan tempur tanpa senjata oleh gabungan kor dalam tentera darat.
Di samping itu, acara yang bermula jam 8 malam itu dimeriahkan dengan persembahan seni mempertahankan diri dari pasukan silat Polis Diraja Malaysia (PDRM), persembahan pancaragam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Machang serta nyanyian patriotik.
Acara perasmian disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan dalam ucapannya, beliau menyeru rakyat negeri ini supaya mengamalkan konsep ‘hubbul watan’ iaitu cinta kepada tanah air yang berakar daripada fitrah dan selari dengan kehendak Islam.
“Saya tidak mahu rakyat negeri Kelantan hadir pada malam ini sekadar menyaksikan keindahan bunga api, kemudian pulang hanya membawa kegembiraan yang sementara.
“Saya mahu kita semua pulang dengan jiwa yang berkobar-kobar iaitu dengan semangat cinta akan negara yang semakin subur dalam jiwa, teguh seterusnya diterjemahkan serta dibuktikan melalui tindakan kita.
“Agama menuntut kita bukan sahaja mencintai negara dengan kata-kata, tetapi mempertahankan kedaulatannya, memelihara keamanan dan memakmurkannya berpandukan petunjuk Allah SWT,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Negeri Kelantan berakhir jam 12 tengah malam dengan acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api yang paling dinantikan orang ramai.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mat Rusdi Mohd Nor, 50, berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya tidak melepaskan peluang ke stadium malah tidak pernah gagal setiap tahun meraikan sambutan itu.
Dia berkata, memandangkan rumahnya terletak hanya lima kilometer sahaja dari stadium, jam 7.30 malam tadi mereka sekeluarga sudah bertolak kerana ingin mengelakkan jalan sesak.
“Bagaimanapun kesesakan tidak dapat dielakkan juga kerana selain orang yang terlalu ramai, ada juga beberapa jalan ditutup.
“Walaupun terpaksa memarkir kereta agak jauh, tidak mengapalah kerana situasi sebegini hanya setahun sekali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
