Pulau Pinang teliti bantuan sesuai untuk keluarga dua pendaki hilang di Nepal

am@hmetro.com.my

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang bersedia meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian kepada keluarga dua pendaki dari negeri itu yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal, Rabu lalu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan termasuk menghubungi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Pejabat Daerah Jawi yang mana dua pendaki berkenaan berkhidmat sebagai jurutera di jabatan berkenaan.

“Selepas ini kita akan cuba mendapatkan maklumat dan akan berhubung dengan ICU Pulau Pinang untuk melihat bagaimana kita boleh bantu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, ahli keluarga dan rakan kepada tiga pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet, Rabu lalu masih menaruh harapan agar mereka ditemukan selamat.

Dua daripada pendaki itu ialah Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, berasal dari Gelugor dan Muhammad Zaki Othman, 29, dilaporkan dari Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Terdahulu, seramai 25,000 pengunjung membanjiri perkarangan Padang Kota Lama seawal 7.30 pagi bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 yang melibatkan 125 kontinjen dan 9,152 peserta yang terdiri daripada kakitangan jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kontinjen kenderaan pula melibatkan 29 pasukan bersama 676 kenderaan dan paling menarik perhatian adalah pameran aset dan jentera berat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top