Kaki sakit, suami berkerusi roda demi lihat cucu sertai perbarisan

am@hmetro.com.my

Melaka: Keterbatasan pergerakan bukan penghalang buat pasangan warga emas dari Bukit Katil, di sini, apabila mereka sanggup bertongkat dan menggunakan kerusi roda untuk hadir ke sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026.

Lebih istimewa, kehadiran mereka ke Persiaran Jalan Pantai Klebang, di sini, hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada cucu yang mengambil bahagian dalam acara perbarisan.

Warga emas berkenaan, Zainah Zakaria, 80, berkata,, masalah kesihatan bukan penghalang untuk mereka bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan, terutama apabila cucunya, Nur Alisha Meldina Jady Mahajad, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka turut terbabit dalam acara berkenaan.

“Walaupun kaki saya sakit dan suami, Abdul Ghafur Mustapha perlu menggunakan kerusi roda, kami tetap datang kerana mahu melihat cucu beraksi dalam perbarisan.

“Apabila dapat melihat cucu bermain dram dan mengambil bahagian dalam sambutan ini, rasa penat dan sakit itu hilang. Ini kenangan yang cukup bermakna buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi sambutan.

Menurutnya, suasana sambutan Hari Kebangsaan hari ini juga jauh berbeza berbanding dahulu apabila lebih banyak pengisian disediakan dan masyarakat daripada pelbagai kaum turut bersama-sama meraikannya.

“Dulu sambutan tidak semeriah sekarang, tetapi semangat kemerdekaan tetap sama.

“Saya harap perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa terus kukuh dan rakyat terus hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Zainah kemudiannya dibantu petugas sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) menerusi perkhidmatan buggy.

Perkhidmatan itu turut membantu pengunjung yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Sementara itu, seorang kanak-kanak, Mohd Safri Mohd Zakry, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Banda Hilir berkata, pengalaman bangun awal pagi semata-mata mahu menyaksikan sambutan Merdeka menjadi sesuatu yang tidak dilupakan apabila tiba di Klebang sekitar jam 3 pagi bersama keluarganya.

Menurutnya, sanggup tidur dalam kereta sementara menunggu waktu siang kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.

“Walaupun Klebang tidak jauh dari rumah, saya dan keluarga tetap datang awal pagi sebab mahu tengok sendiri sambutan.

“Bila lihat ramai orang berkumpul dan mengibarkan Jalur Gemilang, rasa semangat patriotik itu lebih terasa,” katanya.

Lebih 70,000 pengunjung memenuhi Persiaran Jalan Pantai Klebang sejak awal pagi bagi menyaksikan kemeriahan sambutan yang menampilkan 158 kontinjen dengan lebih 8,500 peserta.

Pelbagai tarikan turut disediakan termasuk persembahan grafik manusia membabitkan 2,000 peserta, persembahan kebudayaan serta pameran aset pertahanan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top