Iran dakwa tembak jatuh dron AS di Selat Hormuz

ISTANBUL – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin berkata, pihaknya menembak jatuh sebuah dron Amerika Syarikat (AS) di ruang udara Selat Hormuz hingga terhempas ke perairan Teluk, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Dalam satu kenyataan, pejabat perhubungan awam IRGC berkata, anggota pertahanan udaranya menembak jatuh dron jarak jauh MQ-9 Reaper milik AS dengan peluru berpandu pada awal Isnin, menyebabkan pesawat tanpa pemandu itu jatuh ke perairan Teluk, menurut Agensi Berita Mehr Iran.

Kenyataan itu turut memuji sokongan berterusan rakyat Iran terhadap anggota tenteranya, sambil menyifatkannya sebagai kekuatan terbesar kepada pasukan pertahanan negara itu.

Pada Ahad, tentera AS menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak, sekali gus menandakan serangan pertama AS ke atas wilayah Iran sejak akhir Julai, menurut seorang pegawai AS kepada Axios. – Bernama

 

 

Scroll to Top