am@hmetro.com.my
Klang: Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor bersedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat berhubung isu tahap kesuburan yang membimbangkan di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata banyak cara untuk mengendalikan isu berkenaan termasuk kerjasama antara portfolio (jawatankuasa tetap)
“Saya sedia bekerjasama dengan portfolio YB Anfaal Saari (Exco Pembangunan Wanita) supaya kita dapat melihat serta memastikan tahap kesuburan di negeri sekurang-kurangnya pada tahap sederhana.
“Kalau ‘average’ masih okey, kalau kejatuhan mendadak mungkin ia akan memberi cabaran pembangunan sesebuah negeri dan kita akan pantau perkara ini,” katanya ketika ditemui di Program Sambutan Bayi Merdeka Sempena Hari Kebangsaan ke-67 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dekat sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kadar kesuburan penduduk di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor semakin membimbangkan.
Anfaal dilaporkan berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia kadar kesuburan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah sebanyak 1.2 anak, Sabah (1.3 anak) dan Selangor (1.6 anak).
Dalam pada itu, setakat jam 11 pagi tadi, lima bayi merdeka disambut di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi HTAR.
Dijangka 30 bayi merdeka akan dilahirkan di hospital berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, kegembiraan berganda buat sepasang suami isteri apabila menyambut kelahiran anak sulung mereka pada pagi 31 Ogos.
Ainur Rahmah Sharif, 26, berkata, bayi perempuannya, Aura Medina Muhammad Asrul seberat tiga kilogram selamat dilahirkan secara pembedahan jam 2.30 pagi, hari ini.
Beliau berkata, jangkaan beliau akan bersalin pada minggu hadapan bagaimanapun bayinya lahir awal selepas empat hari ditahan di wad.
“Saya datang hospital pada Rabu untuk pemeriksaan kandungan namun terpaksa ditahan untuk pemantauan kesihatan selepas doktor dapati bayi dalam kandungan kurang bergerak dan tidak aktif.
“Masa itu, ada terfikir kemungkinan bayi akan lahir awal namun tidak sangka bersalin pada 31 Ogos, tarikh merdeka.
“Sudah pasti saya dan suami merasa teruja dengan kelahiran puteri sulung kami pada tarikh keramat ini” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




