Detik indah buat Eddy

Detik indah buat Eddy

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi detik begitu indah buat pelari pecut 100 meter (m) negara, Eddy Bernard.

Jelasnya, biarpun pertama kali turun di temasya tertinggi dunia itu, dirinya tetap berjaya mengatasi perasaan gementar serta tampilkan larian pantas dan dirinya amat berpuas hati dengan apa yang dicapai ketika ini.

“Ini prestasi saya yang terbaik yang pernah saya lakukan. Pencapaian hari ini sangat berpuas hati sebab saya pertama kali datang ke sini untuk kejohanan Sukan Paralimpik ini.

“Saya tidak tahu mahu cakap apa tapi cuma saya dapat hadirkan pingat gangsa untuk Malaysia,” katanya kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, jurulatihnya, Hamberi Mahat bersyukur atas kejayaan itu kerana segala latihan yang dilalui sebelum ke Paris 2024 ternyata memberi impak positif.

“Eddy berjaya memberi pingat pertama untuk kontinjen Malaysia di Paralimpik Paris ini dengan pingat gangsa. Ia amat memberangsangkan sebab segala perancangan yang kita buat semenjak dia layak ke temasya ini berhasil.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada MSN, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan semua rakyat malaysia yang mendoakan kami di sini,” katanya.

Terdahulu, atlet kelahiran Sabah yang bertanding dalam acara 100m kategori T44 (kecacatan fizikal) berjaya menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 11.58 saat (s).

Lebih manis, dia berjaya memecahkan rekod Asia milik pelari dari Sri Lanka, Indika Gamage, 11.75s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.

Sementara itu, atlet olahraga para dari Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo muncul selaku pemenang pingat emas dengan catatan 11.12s manakala perak dimiliki atlet dari Cuba, Yamel Luis Vives Suares, 11.20s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top