KPF agih dividen 5 peratus

KPF agih dividen 5 peratus

ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pengagihan dividen Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Pengagihan itu membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM108.85 juta, yang memberi manfaat kepada semua 255,000 anggota koperasi.

Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris, berkata kerjasama erat dengan SKM membolehkan KPF melaksanakan pengagihan dividen ini dengan lancar dan berkesan.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menghargai SKM atas pertimbangan yang bijaksana dan bantuan diberikan sepanjang proses itu.

“Banyak proses dan peringkat dilalui untuk memastikan kepatuhan terhadap prosedur ditetapkan dan dengan bimbingan serta kerjasama diberikan SKM, kami berjaya melaksanakan tugas ini dengan lancar dan berkesan.

“Pengurusan KPF juga wajar dipuji atas dedikasi mereka menyediakan semua dokumentasi yang diperlukan, memastikan setiap langkah mematuhi prosedur ditetapkan SKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Banuri turut merakamkan perhargaan dalam sokongan FELDA dan FGV memastikan kesejahteraan peneroka dan warga kakitangan terjamin.

“Dengan kerjasama erat antara KPF, kumpulan FELDA dan kumpulan FGV, KPF berazam terus memperkukuhkan kedudukan kewangannya demi manfaat bersama.

“KPF juga optimis dengan sokongan padu semua pihak dan terus berkembang maju, seterusnya memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh warga FELDA,” katanya.

Sementara itu, pemegang saham turut meluahkan rasa syukur dan lega dengan pengumuman dividen ini.

Bagi Ahmad Yusri Yusof, 51, dividen itu memberi kelegaan kewangan yang amat diperlukan, terutama dalam situasi ekonomi mencabar ini.

“Dengan adanya dividen ini, sedikit sebanyak beban kewangan dapat diringankan dan ini menunjukkan keprihatinan KPF terhadap anggotanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top