Pendakwah bebas yang dikenali sebagai pempengaruh agama di media sosial tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bagi menghadapi pertuduhan berkaitan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah hampir RM13 juta.
Foto: Sinar Harian
Memetik laporan Sinar Harian, Pendakwah berusia 30-an itu yang juga pengerusi NGO berkenaan bukan satu-satunya individu yang berdepan pertuduhan. Seorang wanita yang memegang jawatan sebagai setiausaha pertubuhan terbabit turut dibawa ke mahkamah bagi prosiding sama.
Kedua-dua mereka dilihat tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan ditemani barisan peguam masing-masing.
Sebelum ini, media melaporkan pendakwah berkenaan yang mempunyai pengaruh besar di platform media sosial, khususnya TikTok, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Penahanan itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan dana NGO berkenaan.
Siasatan awal mendapati individu terbabit disyaki menggunakan kedudukannya untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bank peribadinya selain lapan akaun syarikat yang mempunyai kaitan pemilikan dengannya.
Artikel lain: Warga SPRM wajib isytihar jika sertai NGO, elak konflik kepentingan – Azam Baki
Pada masa sama, SPRM turut menyiasat kemungkinan wujudnya unsur salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan NGO berkenaan, termasuk meneliti bagaimana dana terbabit disalurkan dan digunakan.
Siasatan tersebut antara lain bertujuan mengesan aliran wang berjumlah hampir RM13 juta serta mengenal pasti sama ada terdapat pihak lain yang turut terlibat dalam urusan kewangan pertubuhan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian

