Kerajaan Madani lulus RM250 juta untuk KB Sentral

Kerajaan Madani lulus RM250 juta untuk KB Sentral

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM250 juta kepada Kelantan sebagai bantuan untuk menyiapkan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat 2026 di Masjid Jamek Muhammadi di sini sebentar tadi.

Anwar berkata, surat pemakluman kelulusan peruntukan tersebut juga telah disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi saya luluskan (peruntukan penyiapan KB Sentral). Baru saya hantar surat kepada Menteri Besar kerana kita bukan hanya perlu mengindahkan lapangan terbang sahaja tetapi stesen bas tertutup.

“Jadi sebab itu saya terpaksa menilai tengok. Tetapi Menteri Besar (Kelantan) ini baik. Kadang-kadang kalau Menteri Besar bengkeng ni saya tak mahu lulus cepat,” katanya.

Pada 26 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan Kelantan akan meneruskan pembinaan KB Sentral bagi mengelakkan ia terus tertangguh walaupun Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM250 juta melalui Belanjawan 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia akan diteruskan melalui kaedah bina, kendali dan serah (BOT).

Katanya, proses pemilihan kontraktor bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan dan kerajaan negeri menyasarkan pelantikan itu akan dibuat tahun ini.-UTUSAN

Scroll to Top