Kerajaan Perlis sifatkan pemergian ADUN Mata Ayer kehilangan besar buat negeri

Kerajaan Perlis sifatkan pemergian ADUN Mata Ayer kehilangan besar buat negeri

am@hmetro.com.my

Kangar: Kerajaan Perlis menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, petang tadi sebagai satu kehilangan besar buat negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pihaknya berasa amat sedih dengan perkhabaran duka itu serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh kepimpinan PAS dan ahli keluarga Allahyarham.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan wakil rakyat berkenaan adalah ketika menghadiri satu majlis kira-kira dua minggu lalu.

“Pada hari ini, kerajaan negeri kehilangan seorang ADUN yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita mendoakan agar keluarga arwah bertenang serta bersabar menghadapi dugaan Allah ini, selain mengharapkan seluruh rakyat Perlis mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, semalam beliau masih dalam keadaan sihat. Namun selepas bercakap dengan suami arwah, difahamkan perubahan kesihatannya berlaku sekitar tengah hari tadi sebelum beliau ditidurkan dan disahkan meninggalkan kita semua,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini.

Wan Badariah menghembuskan nafas terakhir di Unit Kecemasan HTF pada jam 4.26 petang tadi selepas dibawa ke hospital berkenaan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan suami, Sabry Saad, 53, serta tiga anak berusia antara 15 hingga 19 tahun.

Pada 2024, Allahyarham pernah ditidurkan pada bagi memberi rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiroid.

Jenazah dijangka disolatkan pada jam 11 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top