am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu ketika mengimbau hubungan rapatnya bersama pengasas Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, Allahyarham Abdullah Abdul Rahman.
Anwar meluangkan masa lebih 10 minit berkongsi pengalaman peribadi dan kenangan bersama tokoh agama itu dengan kira-kira 200 jemaah di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Allahyarham memainkan peranan penting dalam memberikan dorongan serta menguatkan semangatnya lebih 20 tahun lalu.
Menurut Anwar, kunjungannya ke institusi agama itu hari ini amat menyentuh perasaannya kerana beliau masih menyanjungi tokoh agama itu dan tidak pernah putus mendoakannya ketika beliau masih hidup.
“Walaupun keadaan sudah berubah dan kedudukan saya juga sudah berubah, saya tidak akan berubah.
“Ketika saya mengunjungi madrasah ini lebih 20 tahun lalu, Almarhum banyak memberikan nasihat, dorongan dan keyakinan kepada saya,” katanya.
Anwar berkata, meskipun Allahyarham dikenali sebagai seorang yang tegas dalam pengajarannya, beliau sentiasa bermurah hati dalam memberikan nasihat dan sokongan kepadanya.
Katanya, dorongan yang diberikan tokoh agama itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, terutama ketika melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Sebab itulah saya berasa amat tersentuh apabila tiba di sini tadi. Saya teringat bagaimana seorang tokoh agama yang hebat pernah memberikan sokongan dan banyak menyumbang kepada perjalanan hidup saya,” katanya.
Anwar berharap legasi dan perjuangan Allahyarham akan terus dipertahankan serta dimartabatkan, khususnya menerusi usaha memperkukuh peranan institusi pondok dan pendidikan Islam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




