georgie@hmetro.com.my
Evolusi kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin canggih dan memberi manfaat kepada banyak sektor termasuk industri hiburan.
Penggunaannya berguna dalam melangkau proses sukar, misalnya berkarya dalam muzik.
Bagaimanapun, dapat dilihat juga pertambahan aktiviti salah guna teknologi itu sehingga mencalar imej selebriti. Yang tiada, diadakan seperti penggunaan suara, wajah dan nama mereka untuk tujuan promosi produk tidak baik.
Turut terkena ialah pelawak popular, Zizan Razak. Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 40, menjadi mangsa video yang menggunakan wajah dan suaranya untuk mempromosi aplikasi permainan judi dalam talian.
Zizan sendiri mengakui dihujani pertanyaan mengenai kesahihan perkara itu dan tidak kurang terpedaya serta percaya dia terbabit.
Betapa membimbangkan kesannya terhadap reputasi yang dijaga rapi di khalayak umum.
Beberapa artis wanita tempatan termasuk Anna Jobling, Sophia Albarakbah, Iman Troye dan Mira Filzah turut menjadi mangsa suntingan AI.
Bertebaran foto mereka dalam keadaan lucah akibat aktiviti menjengkelkan itu.
Bukan itu saja, produksi penghasilan muzik turut mendapat tempias salah guna AI.
Memang AI menjadi sebahagian daripada peralatan penting untuk tujuan mendapatkan kualiti lagu terbaik serta memudahkan proses rakaman.
Bagaimanapun, ada pembikin muzik yang senangkan kerja dengan bergantung sepenuhnya kepada AI untuk mencipta sebuah lagu dari sifar.
Justeru, langsung tidak wujud keaslian dan keikhlasan dalam karya mereka.
Baru-baru ini, penulis ada menonton sebuah filem berkisar AI berjudul Extinction di Netflix.
Naskhah itu cukup menarik mengenai masa hadapan yang ditakluk sepenuhnya manusia dan kehidupan dalam bentuk AI.
Bukan ingin melihat sisi negatif AI saja kerana hakikatnya teknologi itu terbukti kian berguna dalam kehidupan seharian.
Tapi, sejauh mana ia akan dapat melindungi kesejahteraan manusia sekiranya sudah melampaui norma?
Dalam aspek industri hiburan, istilah berpada-pada itu paling tepat untuk AI diagung-agungkan.
Terlalu banyak lagi tidak mampu disentuh teknologi itu jika membabitkan kemahiran insaniah serta empati.
Pada akhirnya, kreativiti dan akal fikir kita juga yang perlu masuk campur dalam sebahagian besar produk kreatif, misalnya filem, lagu dan lain-lain. AI sebolehnya cuma ada kelebihan dari segi teknikal semata-mata.
Memanglah siapa kita untuk menidakkan kewujudan AI adalah demi mempercepat dan memudahkan kehidupan.
Bahkan, semakin meluas produk yang berjaya besar hasil daripada bantuan AI.
Namun, berbalik kepada isu empati, sesiapapun tidak harus menyalahguna AI demi tujuan menjatuhkan mana-mana pihak.
Khususnya figura bernama besar termasuk selebriti yang tidak lekang daripada ancaman itu.
Kalau untuk tujuan hiburan suka-suka dan kandungan yang tidak memudaratkan, tidak mengapa. Banyak saja kandungan media sosial menggunakan teknologi AI yang menarik dan kreatif tanpa musnahkan reputasi sesiapa.
Penulis sendiri tertarik dengan video nyanyian lagu Melayu popular, tapi menggunakan suara penyanyi barat.
Bayangkan Adele, Ariana Grande, Justin Bieber dan ramai lagi menyanyikan lagu dalam bahasa kita?
Inisiatif stesen radio Media Prima Audio (MPA) menampilkan penyampai AI juga antara yang layak dipuji.
Pendekatan itu menjadi bukti AI mencetus asimilasi yang betul dalam memacu kemajuan industri hiburan kita.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




