Serah maklumat perbankan, pengurus syarikat rugi lebih RM100,000

Serah maklumat perbankan, pengurus syarikat rugi lebih RM100,000

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM108,750 selepas menyerahkan maklumat perbankan miliknya kepada individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Katanya, panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek memaklumkan akan membantu mangsa dengan membersihkan wang dalam akaun simpanan melalui bantuan Bank Negara Malaysia.

“Mangsa memberikan maklumat perbankan kepada suspek bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yahaya berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas melihat wang dalam akaun bank miliknya berkurang dan mendapati 16 transaksi dilakukan tanpa pengetahuan sehingga mengalami kerugian RM108,750.

“Siasatan mendapati sumber kewangan itu adalah daripada wang simpanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa juga dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top