Ayah tiada, Dr Muhammad Naqib sebak mohon restu sahabat karib arwah

Ayah tiada, Dr Muhammad Naqib sebak mohon restu sahabat karib arwah

mahaizura@mediaprima.com.my

Kota Tinggi: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti tidak dapat menahan sebak ketika memohon restu daripada sahabat karib arwah bapanya yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Pertemuan penuh emosi antara Dr Muhammad Naqib Md Ghazali dengan Abdul Hamid Othman @ Awang, 72, di Kampung Bukit Samsu di sini, hari ini mengundang sebak apabila pelbagai kenangan bersama arwah bapanya, Md Ghazali Ab Wahab, kembali bermain di fikiran.

Dr Muhammad Naqib, 41, berkata, selepas enam tahun kehilangan Md Ghazali beliau menganggap Abdul Hamid bukan sekadar sahabat baik arwah, malah seperti bapanya sendiri bagi memohon restu sebelum meneruskan perjuangan politik.

“Enam tahun saya kehilangan abah. Apabila bertemu kawan baiknya, banyak kenangan lama kembali.

“Saya juga sempat meminta maaf bagi pihak arwah abah sekiranya sepanjang persahabatan mereka ada perkara yang belum dihalalkan. Sebagai seorang anak, sudah tentu saya mahu arwah berada dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Naqib yang ditemani ibunya, Rokiah Ahmad menyifatkan wanita itu sumber kekuatan sejak sebelum diumumkan sebagai calon BN.

Katanya, ibunya mengalirkan air mata sebaik mengetahui beliau dipilih sebagai calon kerana kedua-dua ibu bapanya aktif dalam politik dan pernah memegang jawatan di peringkat bahagian.

“Mak menangis apabila saya dicalonkan. Hari ini bila mak turun bersama, rasa semangat itu berganda.

“Ramai rakan-rakan mak mengenali saya dan itu sedikit sebanyak membantu saya mendekati masyarakat, walaupun saya calon baharu,” katanya.

Dr Muhammad Naqib berkata, beliau sentiasa mengingati pesanan bapa dan ibunya supaya berpolitik secara sihat serta menjaga amanah.

“Mak selalu pesan supaya saya menjaga amanah dan tanggungjawab.

“Arwah abah pula selalu mengingatkan supaya jangan mencari musuh dalam politik.

“Kalau rakyat beri peluang untuk berkhidmat, buatlah sehabis baik kerana akhirnya rakyat yang akan menerima manfaat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang uzur selepas diserang angin ahmar yang melemahkan bahagian kiri badan mengakui terharu apabila Dr Muhammad Naqib tidak pernah melupakannya.

Katanya, dia mengenali rapat arwah Md Ghazali lebih 10 tahun ketika sama-sama aktif dalam UMNO Bahagian Kota Tinggi.

“Saya rapat dengan arwah ayahnya, sama-sama berjuang dalam UMNO.

“Saya yakin Naqib boleh meneruskan perjuangan kami kerana dia seorang yang terpelajar.

“Mudah-mudahan dia diberi kemenangan dan dapat berkhidmat dengan sebaiknya kepada masyarakat,” katanya.

Dr Muhammad Naqib bakal dicabar Mohamad Alias Rasman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Pakatan Harapan (PH) Ahmad Daniel Sharudin dalam saingan tiga penjuru di kerusi DUN Panti.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, kerusi terbabit dimenangi Hahasrin Hashim (BN) selepas memperoleh 12,599 undi dengan majoriti 5,854 undi dalam saingan empat penjuru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top