Kualal Lumpur: Sikap bijak membahagikan masa di padang dan kuliah nyata membuahkan hasil buat pemain hoki Nurul Hannah Ismail, 25, apabila beliau terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di UiTM Shah Alam semalam.
Nurul Hannah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda UiTM dengan purata gred kumulatif (CGPA) 3.84 juga terlibat dengan pelbagai kejohanan dengan mewakili UiTM dalam kejohanan antaranya MASUM dan SUKIPT.
Bagi Nurul Hannah, penglibatannya yang pelbagai membolehkan beliau mampu menjadi seorang eksekutif, pada masa yang sama seorang atlet hoki buat syarikat perbankan ternama, Maybank setelah menamatkan latihan industri.
Tambah Nurul Hannah, beliau sememangnya seorang yang tegas terutamanya dari segi pembahagian masa dalam menguruskan jadual latihan dan kelas yang agak padat namun ia masih tidak mematahkan semangatnya untuk muncul sebagai pelajar terbaik walaupun beliau berdepan dengan pelbagai tanggapan masyarakat sekeliling.
“Kebanyakan orang sekeliling saya sering mempersoalkan tentang jadual saya yang padat. Mereka berkata bahawa atlet banyak main, tidak belajar. Mendengarnya membuatkan keinginan untuk menjadikan diri saya sebagai contoh bahawa ianya tidak benar semakin membuak-buak,” ujar pemain hoki Maybank tersebut.
Nurul Hannah juga sempat menitipkan nasihat buat semua mahasiswa untuk terus aktif dalam sukan hingga ke peringkat tertinggi tetapi dalam masa sama, cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah tidak harus dilupakan.
“Penglibatan dalam sukan seharusnya menjadikan kita lebih cerdas dan mampu mengikuti kuliah dengan lebih baik tetapi segala-galanya perlu seimbang supaya penumpuan dalam bilik kuliah tidak terjejas” tambah Nurul Hannah.
Sementara itu Nurul Hannah juga berharap agar atlet Malaysia dapat meningkatkan tahap kelayakan akademik walaupun sedar bahawa tanggungjawab sebagai seorang atlet juga memerlukan pengorbanan tersendiri apatah lagi ketika beraksi di peringkat tinggi.
Press Release, Malay News
Oleh: Siti Aisyah Mohd Nafi, Annisa Azlan.



