Draper sambung legasi Murray

Draper sambung legasi Murray

New York: Jack Draper mara ke separuh akhir Grand Slam pertamanya di Terbuka Amerika Syarikat (AS selepas menewaskan pemain ranking ke-10 Alex de Minaur dari Australia 6-3, 7-5, 6-2, awal pagi tadi.

Pemain nombor 25 dunia itu yang muncul pemain lelaki British pertama ke peringkat empat terakhir sejak Andy Murray menjuarainya 12 tahun lalu akan berdepan pemenang di antara pilihan utama Jannik Sinner atau juara 2021 Daniil Medvedev untuk memburu tempat di final Isnin ini.

Ia pencapaian menakjubkan selepas tahun lalu ia tampak terlalu sukar buat Draper. Bermula 2023 ketika menduduki ranking ke-38, dia mengalami kecederaan bahu berulang dan terlepas banyak kejohanan termasuk di tanah liat dan berumput.

Rankingnya merosot dan terkeluar daripada 100 teratas yang memaksanya hanya menyertai sirkit kelas dua sebelum menyerlahkan kebangkitan di peringkat 16 terakhir Terbuka AS.

Dalam tempoh 12 bulan, dia dijangka menembusi 20 teratas dan menantinya kini perlawanan terbesar dalam karier pada Sabtu ini di stadium tenis terbesar dunia.

“Tahun lalu adalah titik peralihan saya ketika kecederaan bahu menghampakan saya hampir sepanjang musim,” kata Draper.

“Saya hanya mampu melihat pemain muda lain yang hebat menjuarai kejohanan. Tetapi saya tahu masa saya akan tiba. Saya tak tahu bila ia berlaku tetapi harap di sini saya dapat melakukan banyak perkara menakjubkan. Saya bangga dengan diri saya.”

Pemain kidal berusia 22 tahun itu meraih kemenangan awal pagi tadi walaupun menerima rawatan pada permulaan set kedua yang menyaksikan pahanya berbalut.

Namun dia pantas meredakan kebimbangan mengenai kecederaan itu yang boleh menjejaskan prestasinya di separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top