nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman tidak perlu memohon maaf kepada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Aliff Syukri selaku pemohon selepas prosiding penggantungan pelaksanaan penghakiman di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Mahmud berkata, Mahkamah Tinggi, di sini, memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan Aliff Syukri selaku pemohon untuk menangguhkan permohonan maaf itu.
“Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi perintah permohonan maaf dan perintah bagi menghapuskan terbitan.
“Mahkamah juga membenarkan cadangan defendan supaya pembayaran RM250,000 bagi ganti rugi untuk kepada peguam plaintif (Abdul Kadir) sebagai pemegang amanah sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mahkamah menolak permohonan defendan bagi penggantungan pelaksanaan larangan tidak menerbitkan apa-apa siaran mempunyai kesan sama atau serupa yang memfitnah plaintif.
Pada 29 April lalu, Hakim Roslan mengarahkan Aliff Syukri membayar RM250,000 kepada Abdul Kadir selepas membenarkan saman dikemukakan bekas menteri itu.
Dalam penghakimannya, Roslan berkata, maruah dan nama baik seseorang adalah sesuatu yang amat berharga dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta.
Mahkamah berpendapat terdapat saluran undang-undang yang terbuka untuk defendan mengemukakan tuntutan hutang atau sebarang hak kepada plaintif.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Abdul Kadir mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan Aliff Syukri berjuta ringgit selain gambarnya diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Justeru itu, beliau menuntut Aliff Syukri membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.
Selain itu, beliau juga menuntut perintah supaya ahli perniagaan terbabit memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 membabitkan dirinya, Abdul Kadir serta dua syarikat.
Aliff Syukri mendakwa pihak dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji diberikan Abdul Kadir kepadanya adalah dalam pengetahuannya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd

