MUKADIMAH
Letak jawatan! Itu tindakan berprinsip yang mungkin diambil Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), KHALID ABDUL SAMAD jika masih menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, MUHAMMAD FARIZ RUSADIO dan jurufoto, MOHD. FIKRI FADZIL, Khalid turut mempertahankan pendirian malah berpegang kepada situasi realistik bagi Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mana mustahil untuk kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) berlaku sebaliknya pilihan terbaik bagi gabungan itu adalah untuk bergerak solo.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyentuh keperluan kerjasama PH Plus terutama dengan parti Bersatu selain kesediaan Amanah berkorban kerusi dan berkongsi pandangan persoalan calon Perdana Menteri, agenda penyatuan ummah dan pendanaan politik.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah Amanah mempunyai pemimpin pelapis yang berwibawa untuk membawa parti lebih jauh?
Insya-Allah, kita sedang berusaha ke arah itu dan memang pada masa ini sudah ada pemimpin-pemimpin dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an yang sedang kita bina.
Kita mahu mencari dan membentuk mereka yang mempunyai pengalaman, sebagaimana pengalaman yang dilalui oleh Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta kumpulan generasi pertama, termasuk 18 orang yang keluar daripada Pas.
Pengalaman generasi pertama ini mungkin sukar untuk ditandingi kerana mereka telah melalui proses dan sejarah panjang, termasuk pengalaman tahanan ISA serta suasana politik pada ketika itu.
Namun begitu, proses pembinaan dan pembentukan kepemimpinan dalam kalangan pemuda dan generasi kedua memang sedang berlaku.
Sebab itu, corak kepemimpinan secara berjemaah atau berkumpulan sangat penting kerana melalui pendekatan ini, kita dapat menyampaikan cara pemikiran dan pandangan yang ingin dihayati serta diamalkan oleh generasi seterusnya. Insya-Allah, proses ini masih berjalan.
Bagaimana dengan tanggapan sesetengah pihak yang melihat Amanah masih sebagai sebuah parti kecil dalam PH dan kurang memberi impak dalam pilihan raya?
Kita diwujudkan dalam suasana politik Melayu yang dikuasai oleh dua gergasi yang telah lama bertapak dalam arena politik, iaitu UMNO dan Pas. Ketika kita diwujudkan, kedua-dua parti ini sudah mempunyai sokongan akar umbi yang sangat mantap.
Kita tahu UMNO mempunyai mungkin beribu-ribu cawangan, begitu juga dengan Pas, dan mereka telah lama memegang jawatan di peringkat akar umbi dalam pelbagai persatuan dan sebagainya. Maka, amat mencabar bagi Amanah untuk bertapak dan menguasai masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.
Namun begitu, kita yakin apa yang kita perjuangkan mempunyai potensi untuk mendapat sokongan yang lebih luas daripada masyarakat Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih kritis terhadap corak kepimpinan.
HAPUS POLITIK ‘SAKAU’, ‘PUKAU’
Adakah gabungan PH kini memerlukan ramai lagi rakan parti baharu untuk kelihatan lebih segar?
Bagi kami, tidak ada masalah untuk menerima parti komponen tambahan selagi mereka bersetuju dengan apa yang diperjuangkan.
Apa yang membezakan PH, Amanah daripada parti-parti serta gabungan lain adalah kita memperjuangkan apa yang dikatakan sebagai politik prestasi, memberi penekanan kepada pencapaian dan keberkesanan dasar serta polisi yang dilaksanakan.
Kita tidak membawa pendekatan politik identiti yang mahu hanya Melayu bersatu, Cina bersatu ataupun India bersatu, kerana kesatuan itu berdasarkan identiti dan bukan atas nilai serta prestasi.
Atas dasar politik identiti ini juga, banyak penyelewengan boleh berlaku.
Amanah sendiri bersungguh-sungguh dan berusaha untuk memastikan budaya politik Melayu yang dibawa UMNO dan Pas sama ada politik ‘sakau’ ataupun politik ‘pukau’, dapat dihapuskan dan dibersihkan daripada minda masyarakat Melayu.
Jadi, sekarang masyarakat Melayu mempunyai tiga pilihan, iaitu sama ada mahu politik ‘sakau’, politik ‘pukau’, ataupun politik prestasi dan nilai yang diperjuangkan oleh PH dan khususnya Amanah.
KERJASAMA PH, BN AMAT MUSTAHIL
Ada yang menyanggah kenyataan Saudara mengenai keputusan PH tidak akan bekerjasama dengan BN dan PN bagi menghadapi PRN Melaka. Namun secara realistik adakah penjajaran kerjasama ini boleh dijayakan?
Seperti mana yang saya sebutkan tadi sebenarnya adalah soal ideologi perjuangan yang dibawa dan kita wujudkan Kerajaan Perpaduan, bukan atas pilihan tetapi oleh kerana terpaksa, sedangkan kita tidak ada nilai-nilai yang dikongsi bersama.
UMNO pun apabila duduk dalam Kerajaan Perpaduan seperti mana yang kita nampak daripada segi prestasi, pencapaian dan sebagainya tidak diberikan keutamaan.
Mereka duduk di situ dengan tujuan untuk menentukan golongan pemimpin mereka mendapat perlindungan termasuklah yang paling menonjol dalam kes Datuk Seri Najib Razak. Lalu mereka gunakan kedudukan dalam kerajaan untuk itu.
Jadi, oleh kerana tidak ada nilai-nilai dan matlamat yang dikongsi bersama di antara kita (PH) dengan BN dan PN maka bagi saya amat sukar untuk kita hendak bekerjasama.
Kalau hendak bentuk kerajaan selepas pilihan raya dalam keadaan terpaksa itu lain cerita seperti mana yang berlaku dalam PRU15, tetapi untuk kita masuk bersama dalam keadaan dia hendak ke kiri, kita mahu ke kanan, bagi saya, ia satu perkara yang amat mustahil.
Keduanya, berdasarkan kepada pengalaman, kita lihat kerjasama yang telah kita laksanakan dengan harapan bahawa mungkinlah BN ini boleh menerima sebahagian daripada nilai-nilai politik dan budaya politik yang kita perjuangkan walaupun sudah tiga tahun bersama, nampak macam tiada.
Kita cakap tentang pencapaian. Perdana Menteri cakap tentang nilai ringgit, jumlah pelaburan, simpanan, bayar hutang dan prestasi tapi UMNO tidak kisah, tidak cakap apa-apa pun tentang prestasi kementerian-kementerian, mereka hanya menumpang sambil mengkritik, mengutuk, memerli tapi mereka tidak mahu keluar dan dan sebaliknya minta kita pecat mereka, sebenarnya kalau mereka tidak setuju, keluarlah.
LUPAKAN BN/PN, PH SOLO LEBIH REALISTIK
Jadi, Saudara melihat UMNO/BN akan membentuk persefahaman dengan Pas di Melaka?
Bagi saya kalau kita (PH) hendak masuk (bersama dalam PRN Melaka), di Johor, di Negeri Sembilan, kita sudah nampak mereka (BN) pun condong kepada Perikatan Nasional (PN). PN pun sanggup menjadi sebagai ‘macai’ mereka, jadi pengikut pada UMNO.
Sekarang ini dekat Melaka pun, saya tak hairan kalau UMNO kata, ok kami ambil 21, oleh sebab PN tidak ada, jadi Pas, Wawasan, MIPP itu kamu ambillah tujuh kerusi, ambil baki itu, Pas (pasti) akan akur, kerana mereka sudah tidak ada idealisme perjuangan.
Perjuangan yang dibawa oleh Pas sekarang ini kalau hendak ikutkan kata-kata Haji Hadi seperti dalam satu video beliau yang minta contohi anjing kampung. Kadangkala anjing kampung ini lagi pandai daripada kita, anjing kampung ini selalu bergaduh, dia sama dia.
Tapi bila masuk, rusa ataupun kijang, maka anjing kampung akan bersatu, halau rusa dan kijang itu, dan lepas rusa dan kijang itu dihalau keluar, dia gaduh balik.
Jadi, BN PN mesti kerjasama untuk halau PH dari Putrajaya, atas sebab apa? Sebab ada DAP, yang diratib selalu DAP, Pas sanggup untuk capai matlamat itu dan jadi ‘second fiddle’ kepada UMNO.
Bila PN BN ini sudah nampak ‘kamceng’, lebih-lebih lagi bila Pas sanggup jadi ‘macai’ kepada BN, maka saya rasa di Melaka kita kena realistik, tidak perlulah mengharapkan kerjasama yang bermakna, yang membina kerana UMNO dengan budaya politik sakau, PN budaya politik pukau, kita pula lain tiada persamaan.
Maka lagi baik kita berdiri tegak atas prinsip perjuangan kita dan wawasan politik yang kita bawa iaitu politik prestasi, politik nilai dan politik rahmatan lil alamin.
Malah apabila Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) kata tunggu keputusan Majlis Presiden PH, mana dia tahu kita ada majlis presiden ataupun tidak? Memang kita sudah ada mesyuarat Majlis Presiden dan memang saya sudah kemukakan pandangan yang seperti mana saya sampaikan ini.
Jika dia kata kenyataan saya bukan penanda aras, saya minta dia nasihat juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini turut menggesa parti itu tidak bekerjasama dengan PH di PRN Melaka selain ‘gertakan’ tidak mahu menjadi calon jika kerjasama itu berlaku. Bagi saya, yang realistiknya, kita lupakan BN, lupakan PN, kita (PH) solo.
BERSATU HENDAK MASUK, KENA FAHAM BUDAYA POLITIK
Bagaimana kerjasama PH Plus, desas-desus Bersatu mungkin jadi rakan potensi untuk diajak bergabung bersama?
Kalau kita hendak bersama dengan Bersatu ataupun mana-mana parti lain, maknanya mereka kena faham budaya politik yang wujud dan mereka kena setuju dengan itu.
Dulu, bila kita bersama dengan Bersatu dalam PH pada 2018, walaupun Bersatu tidak mempunyai banyak kerusi, tetapi kita setuju Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi presiden dan beliau juga menjadi calon Perdana Menteri, dan beliau faham, kerana Tun Mahathir, dalam soal politik, prestasi dan pencapaian itu sangat penting. Kita tidak boleh nafikan pencapaian yang dilakukan pada zaman Tun Mahathir dulu.
Jadi, kalau hendak bersama dengan Bersatu sekarang ini, mereka mesti bersetuju dengan konsep politik prestasi dan politik nilai, dan bukan atas politik identiti yang telah menghasilkan apa yang saya namakan sebagai gelombang haru-biru.
Yang menang di (PRN) Negeri Sembilan jadi haru-biru, bila duduk di kerajaan Persekutuan, dengan kes Najib dan sebagainya pun, menimbulkan haru-biru.
AMANAH SANGGUP KORBAN KERUSI
PH sudah selesai pembahagian kerusi untuk PRN Melaka. Jika ada PH Plus, adakah ada parti yang sanggup berkorban kerusi?
Ya, kerusi mana yang mereka mahu, kena runding dan bincang dengan parti yang telah diagihkan kerusi itu kepadanya.
Contohnya, kalau kerusi Durian Tunggal itu sudah diserahkan kepada Amanah, kemudian Bersatu datang dan mahu kerusi Durian Tunggal itu, maka kena runding dengan Amanah. Kena runding, sebab kita sudah bersetuju.
Tetapi bagi Amanah, pada pilihan raya 2022 dulu, kita telah menunjukkan keterbukaan kita dengan konsep khemah besar, di mana kita telah berikan kepada parti Muda, Parlimen Muar yang pada asalnya adalah kerusi untuk Amanah, kita berikan kepada Muda. Begitu juga kerusi Puteri Wangsa yang juga pada asalnya adalah milik Amanah.
Jadi, memang pada dasarnya kita setuju untuk memperluaskan sokongan (PH) dengan adanya penyertaan parti-parti lain, tetapi semua kena faham dan semua kena setuju.
IKUT PERANGAI ANJING KAMPUNG, GADUH BALIK
Bagaimana Saudara melihat agenda penyatuan ummah antara Pas dan UMNO?
Saya rasa Haji Hadi sendiri sudah menjelaskan perkara tersebut. Bila ‘rusa dengan kijang’ sudah keluar, kita akan bergaduh semula.
Jadi, bagi saya, penyatuan yang berlaku sekarang ini adalah semata-mata kerana mereka mahu mendapatkan kuasa. Apabila sudah mendapat kuasa, dia sendiri sudah kata kita ikut perangai anjing kampung, jadi bergaduh balik.
Bagi saya, perkara ini menunjukkan bahawa penyatuan tersebut bukanlah satu perpaduan yang benar-benar ikhlas dan jujur. Ia bukan kerana mereka benar-benar mahu membangunkan bangsa Melayu atau memastikan orang Melayu menjadi lebih hebat dan maju. Sebaliknya, mereka bersatu kerana mahu mencapai kuasa dan pangkat. Itu sahaja.
Sidang Parlimen akan datang mungkin menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang atau Akta Pendanaan Politik. Apakah pandangan Saudara mengenai cadangan ini, khususnya jika terdapat parti yang berkemungkinan tidak bersetuju?
Daripada segi butiran dan kandungan draf undang-undang tersebut, kita perlu menelitinya terlebih dahulu sebelum dapat memberikan pandangan secara menyeluruh. Namun begitu, dari sudut prinsip, saya melihat pendanaan politik sebagai satu keperluan bagi memastikan wujudnya ketelusan dalam pembiayaan politik.
Pada masa sama, ia dapat membantu mengurangkan ruang berlakunya budaya ‘sakau’ yang selama ini ada pihak cuba justifikasikan atas alasan mereka memerlukan dana untuk parti, termasuk bagi menjalankan program bersama rakyat.
Dengan adanya mekanisme pendanaan politik yang jelas, telus dan terkawal, parti-parti politik boleh mendapatkan dana melalui saluran yang sah tanpa perlu bergantung kepada ‘pintu-pintu belakang’, makan tepi dan sebagainya.
Jadi, kita perlu melihat terlebih dahulu keseluruhan draf tersebut, termasuk butiran, mekanisme dan syarat-syarat yang dicadangkan, sebelum kita boleh menyatakan sama ada kita bersetuju atau sebaliknya.
Tetapi daripada segi prinsip, falsafah dan konsepnya, saya melihat pendanaan politik sebagai sesuatu yang boleh disokong.
DEDAH MINIT MESYUARAT
Mengenai isu pengampunan Najib, apabila keputusan Lembaga Pengampunan keluar, orang mendesak supaya minit mesyuarat itu didedahkan kepada umum. Apakah pandangan Saudara yang sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Wilayah?
Kenyataan (desakan) itu, kalau anda periksa, yang tandatangan itu, Amanah Wilayah Persekutuan sokong. Khalid Abdul Samad pun sokong. Ada nama saya juga supaya minit mesyuarat itu didedahkan.
Tetapi hakikatnya, kita kena akurlah. Ini adalah kuasa yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Keputusan telah dibuat dan saya yakin bahawa Menteri Wilayah sendiri telah memberikan pandangan dan pendirian.
Insya-Allah, kalau didedahkan, kita dapat tahulah. Tetapi setakat mana yang saya faham, memang tidak begitu cenderung ke arah itu dan saya rasa memang ia membawa satu mesej yang tidak sihat.
Seperti hadis nabi, tidak boleh ada perbezaan dalam soal pelaksanaan hukum berdasarkan kepada kedudukan, pilih kasih dan sebagainya.
Tapi itu telah berlaku, tiada apa yang boleh kita buat, hanya ia memberi satu harapan yang sangat cerah bagi semua ‘penyakau’ yang berjawatan tinggi untuk mendapat pengampunan.
Kalau saya masih Menteri Wilayah ketika itu, mungkin saya letak jawatan sebelum mesyuarat itu. Katalah esok mesyuarat, saya letak jawatan hari ini, jadi tidak ada Menteri Wilayah, itu pandangan saya, mungkin saya buat begitu.
Saya pun tidak tahu (kenapa menteri tidak letak jawatan), Pada ketika itu mungkin parti berikan arahan yang sebaliknya. Tetapi kalau hendak elak daripada berlakunya yang bagi sayalah, satu kesilapan yang bersejarah ini, seharusnya benda ini dipertimbangkan. Kalau saya menteri Wilayah saya letak jawatan, supaya tangguh proses pengampunan itu.
Tetapi dalam peribahasa Inggeris, every cloud has a silver lining, bukan? Maknanya semua perkara itu ada benda yang positif.
Ada seseorang menulis kepada saya. Dia kata, walaupun ini kes Najib, tetapi mungkin ia ada kebaikan. Dalam erti kata, apabila ada undang-undang tahanan di rumah, orang ramai pun akan diberikan ruang itu.
Akan ada kes-kes orang yang mencuri atas keadaan terdesak kerana nak berikan makanan kepada keluarganya, contohnya, dan sebagainya.
Maka, undang-undang ini boleh digunapakai untuk kes-kes yang sebegitu. Walaupun bukan itu sebabnya undang-undang ini digubal. Tetapi hasil daripada penggubalan undang-undang ini, sekiranya ia akhirnya diluluskan di Parlimen, maka akan ada sedikit kebaikan dan satu rahmah bagi golongan seperti ini.
KALAU TIDAK ANWAR, MAKA SIAPA?
Adakah Saudara melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi calon terbaik untuk meneruskan satu lagi penggal sebagai Perdana Menteri?
Dia bukan sempurna. Bukan hendak katakan dia godsend (kiriman Tuhan) ataupun sempurna. Banyak kelemahan dia, banyak juga kelebihan dia.
Setakat ini kalau kita tengok di antara dia dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atau Tan Sri Abdul Hadi Awang mahupun Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke atau Datuk Seri Mohamad Hasan, memang kita rasa yakin bahawa dia (Anwar) jauh lebih baik.
Malah kita mengharapkan dalam tempoh setahun yang masih ada ini, kita dapat membawa gelombang baru yang membuka minda orang Melayu. Jangan takut kepada DAP, tidak ada sebab kita perlu takut dan tidak ada cara DAP boleh menguasai kerana 80 peratus kita adalah orang Melayu.
Hanya Melayu kena berubah dan memilih pemimpin-pemimpin yang mempunyai nilai-nilai politik yang positif dan yang membina.
Setakat yang saya nampak begitulah, tidak ada calon-calon lain yang setanding (Anwar). Kita tengok daripada segi international recognition, di peringkat antarabangsa, penghormatan yang diberi, disanjung dan itu sangat penting.
Kita tidak boleh hidup hanya dengan sumber dan kekuatan dalam negara semata-mata. Kita perlu sokongan daripada masyarakat antarabangsa.
Tapi kalau masyarakat antarabangsa nampak ini semua perompak dan semua yang memperalatkan agama dan sebagainya, siapa yang mahu sokong? Siapa yang ingin datang berikan pelaburan?
Siapa yang hendak beli produk-produk dari Malaysia dan sebagainya? Lalu, perlunya satu individu yang mendapat sokongan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa, di situ Anwar jauh ke depan. – Mingguan Malaysia




