syazrina@hmetro.com.my
Laporan eksklusif akhbar ini 24 September lalu mengenai isu pembuangan sampah haram mendedahkan kegiatan itu dilakukan secara terancang, berulang dan mampu bertahan dalam tempoh lama tanpa tindakan berkesan.
Pada masa sama, kewujudan lokasi pembuangan sampah haram yang masih berulang menunjukkan isu itu memerlukan perhatian lebih menyeluruh, terutama dari aspek penguatkuasaan, tatakelola dan integriti pihak yang terbabit.
Merungkai persoalan itu, Kafe Ahad menemubual Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), JAIS ABDUL KARIM bersama wartawan, NOR SYAZRINA MUHAMAD TAHIR.
Sejauh mana kegiatan itu berpotensi mempunyai kaitan dengan amalan rasuah?
Apabila pengusaha atau pemandu lori menawarkan caj pelupusan yang jauh lebih murah, persoalan pertama ialah ke manakah sisa itu sebenarnya dibawa. Harga yang terlalu rendah mungkin menunjukkan kos pelupusan sah sudah dielakkan.
Jika kegiatan itu dilakukan sekali, ia mungkin tindakan individu. Namun, jika banyak lori keluar masuk, berlaku secara berulang dan berbulan-bulan tanpa dikesan, kita perlu menyiasat kemungkinan wujud rangkaian yang lebih tersusun.
Rangkaian itu mungkin membabitkan pemilik tanah, kontraktor, orang tengah atau pihak yang membocorkan maklumat mengenai jadual operasi penguatkuasaan.
Unsur rasuah boleh berlaku sekiranya terdapat bayaran untuk menutup mata, tidak mengeluarkan kompaun, memanipulasi rekod, meluluskan dokumen yang tidak tepat atau memberikan perlindungan.
Apakah ruang berlakunya salah laku atau rasuah dalam rantaian pengurusan sisa pepejal?
Risiko boleh muncul pada hampir setiap peringkat.
Risiko salah laku boleh berlaku dalam proses perolehan, kutipan dan pengangkutan sisa termasuk melalui konflik kepentingan, manipulasi rekod, perubahan laluan atau penggunaan dokumen palsu.
Rekod perjalanan, resit timbang dan bukti penerimaan di tapak pelupusan juga berpotensi dipalsukan atau digunakan berulang kali.
Dalam proses pelupusan, pemilik tanah atau pengendali tapak mungkin menerima bayaran untuk membenarkan pembuangan secara haram.
Pada peringkat pemantauan pula, rasuah boleh berlaku jika notis, kompaun atau tindakan undang-undang sengaja dilengah-lengahkan, dikurangkan atau tidak diteruskan.
MCW berpandangan bahawa keseluruhan jejak sisa mesti boleh diaudit, bermula dari lokasi ia dikutip, kenderaan yang mengangkutnya, laluan perjalanan, berat muatan hingga ke tapak pelupusan akhir.
Apakah 3,723 lokasi yang ditutup menunjukkan kelemahan tatakelola atau penguatkuasaan?
Angka 3,723 lokasi yang dikesan, ditutup dan dibersihkan dari 2024 hingga Julai 2026 menunjukkan usaha penguatkuasaan sudah dilakukan.
Namun, jumlah yang begitu besar serta kewujudan 81 lokasi yang masih aktif atau berulang menunjukkan bahawa pendekatan semasa belum berjaya memutuskan punca sebenar masalah.
Pihak berkuasa perlu meneliti mengapa tapak yang sudah dibersihkan boleh kembali beroperasi.
Data antara Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi penguatkuasaan juga perlu disepadukan.
Apakah langkah konkrit yang perlu diambil oleh SPRM, SWCorp dan agensi berkaitan?
MCW mencadangkan satu pasukan petugas khas bersepadu diwujudkan bagi kawasan panas dan kes berulang.
Pasukan itu perlu menggabungkan kepakaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SWCorp, pihak berkuasa tempatan, JAS, polis serta agensi lain yang berkaitan.
Siasatan perlu menggunakan kaedah ‘follow the money’. Teliti akaun syarikat, pembayaran tunai, pemilikan lori, kontrak kutipan, pemilik tanah, orang tengah dan pegawai yang mempunyai kaitan dengan kelulusan atau penguatkuasaan.
Operasi risikan dan penyamaran juga boleh digunakan untuk mengesan pihak yang menawarkan perlindungan atau membocorkan maklumat operasi.
Audit mengejut perlu dijalankan terhadap rekod Sistem Pengesanan Global (GPS), resit timbang, invois pelanggan dan bukti penerimaan di tapak pelupusan, selain meneliti gaya hidup serta kemungkinan konflik kepentingan pegawai dalam sektor berisiko mengikut undang-undang.
Jika ada pihak berpengaruh terbabit, tindakan mesti turut ditumpukan kepada dalang, penerima keuntungan dan mana-mana pegawai yang bersubahat, bukan sekadar pemandu lori di lapisan paling bawah.
Apakah cadangan MCW bagi menambah baik sistem, ketelusan dan pemantauan?
MCW mencadangkan sistem penjejakan digital diwajibkan bagi kenderaan yang membawa sisa.
Setiap perjalanan perlu mempunyai rekod elektronik yang mencatatkan sumber sisa, jenis dan anggaran berat, nombor kenderaan, laluan GPS serta pengesahan penerimaan di tapak pelupusan berlesen.
Senarai pengusaha berlesen, syarikat yang dikenakan tindakan dan statistik kes mengikut kawasan juga wajar diterbitkan secara berkala.
Saluran aduan yang melindungi identiti pemberi maklumat mesti diperkukuh, manakala pemberi maklumat dalaman perlu dilindungi daripada tindakan balas.
Akhirnya, hukuman mestilah lebih mahal daripada keuntungan jenayah.
Selagi kos membuang secara haram lebih rendah daripada risiko ditangkap, kegiatan ini akan terus dianggap sebagai model perniagaan yang menguntungkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




