am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Sukar dipercayai apabila seorang lelaki hanya luka pada tangan kanan walaupun kereta dipandu remuk teruk hingga terkopak bumbung dan pintu akibat dirempuh lori.
Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang dilanggar lori di Kilometer 15 Jalan Kuala Selangor – Kuala Lumpur, Bukit Rotan, di sini.
Pelanggaran itu menyebabkan kereta Proton Saga mangsa tersepit pada pembahagi konkrit di tengah jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, nahas berlaku ketika pemandu lori berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi, pemandu lori itu mendakwa cuba mengelak sebuah lari lori di hadapan yang membelok ke simpang di sebelah kiri secara mengejut.
“Bagaimanapun pemandu lori itu melanggar bahagian belakang kenderaan berat itu sebelum terbabas dan melanggar kereta Proton Saga di lorong kanan,” katanya.
Mohd Ambia berkata, pemandu kereta Proton Saga bagaimanapun terselamat dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




