PUTRAJAYA: Pelakon versatil, Azhan Rani mengakui dirinya sudah lali apabila menerima gelaran ‘artis sombong’ seperti yang pernah dilemparkan oleh netizen, baru-baru ini.
Menurut Azhan, dia tidak pernah berkecil hati dengan persepsi tersebut, sebaliknya memilih untuk terus melakukan kebaikan tanpa terlalu memikirkan pandangan negatif yang dilemparkan.
“Memang ada. Sekarang ini ramai juga artis yang dilabel sombong. Bagi saya mudah sahaja. Kalau kita tengok di Threads, berapa ramai yang kata saya sombong dan berapa ramai pula yang kata saya tidak sombong?
“Saya tidak boleh melayan orang 24 jam sehari. Saya pelakon, tetapi saya tetap manusia biasa. Dulu saya sentiasa senyum kepada orang. Waktu zaman Twitter, ada pula yang kata, ‘Artis ini perasan popular sangat, senyum dekat aku.’ Jadi, senyum pun salah.
“Bila saya diam, orang kata saya sombong pula. Kadang-kadang kita memang tidak boleh buat apa-apa. Jadi saya selalu pesan kepada diri sendiri supaya terus buat baik,” katanya ketika ditemui di sidang media Bulan Henti Bicara, baru-baru ini.
Tambah Azhan, ada kalanya dia tidak menyedari kehadiran atau sapaan peminat kerana sedang memberi tumpuan kepada urusan lain, namun perkara itu bukanlah bermaksud dirinya seorang yang sombong.
“Kadang-kadang orang panggil dari jauh tetapi saya tidak dengar. Kadang-kadang saya sedang makan atau membaca mesej penting sehingga wajah saya nampak serius.
“Orang nampak wajah serius itu lalu terus menganggap saya sombong. Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Ada juga orang suka mengambil gambar tanpa kebenaran.
“Pernah saya berbincang dengan pengurus saya yang juga isteri orang. Kemudian tersebar pula cerita kononnya saya keluar dengan isteri orang. Mereka tidak bertanya pun apa sebenarnya yang berlaku.
“Benda-benda seperti itu memang saya tidak boleh kawal. Kalau orang kata saya sombong, mungkin itulah harga yang perlu dibayar kerana dikenali. Tetapi saya tidak salahkan semua orang. Kalau mereka benar-benar mengenali saya, mereka tahu bagaimana diri saya yang sebenar.
“Kalau peminat datang minta bergambar dengan baik, memang tiada masalah. Pernah juga ada peminat datang tanpa telefon bimbit. Saya beri telefon saya dan saya sendiri yang mengambil gambar mereka. Itu pun pernah tular,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, drama Bulan Henti Bicara yang dibintangi Azhan telah pun mula disiarkan di Astro Ria, sejak semalam.
Selain Azhan, drama tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Ezzanie Jasny, Azar Azmi, Ali Reza, Farah Ahmad dan ramai lagi.




