JAKARTA: Pasukan anti keganasan polis Indonesia, Densus 88, sedang menyiasat taktik baharu kutipan dana oleh rangkaian pengganas di Sumatera Utara.
Mereka dipercayai melakukan ‘crowdfunding’ atau pendanaan awam dengan menempatkan kotak derma di serata republik itu bagi membiayai tindakan keganasan.
Lebih 500 kotak derma dirampas dari kediaman suspek pengganas di wilayah Deli Serdang dan Tanjung Balai dalam tempoh antara 19 hingga 26 Mac lalu.
Jurucakap Polis Sumatera Utara, Komisioner Kanan Hadi Wahyudi, berkata pihaknya turut memberkas 18 pengganas yang didakwa mendalangi siri operasi itu di dua wilayah selain beberapa lokasi di Medan, Binjai, Langkat dan Padang Sidempuan.
“Kotak derma ini diletakkan di pelbagai tempat awam seperti kedai serbaneka, pasar raya, pasar dan restoran, kononnya bagi membiaya kegiatan keagamaan.
“Sebaliknya, semua wang yang dikutip didakwa digunakan bagi membiayai pelbagai kegiatan keganasan,” katanya.
Polis bagaimanapun sehingga kini belum mengenal pasti latar belakang kumpulan pengganas terbabit, jumlah kutipan dana yang berjaya dikumpulkan atau jenis kegiatan keganasan yang dilakukan.
Disember tahun lalu, polis menemui lebih 20,000 kotak derma dipercayai digunakan bagi mengutip dana untuk kumpulan pengganas, Jemaah Islamiyah (JI) di 12 wilayah, termasuk Sumatera Utara.
Bekas pengganas, Khairul Ghazali, yang kini dibebaskan, dilaporkan berkata pengganas Indonesia sering menggunakan kotak derma untuk mengutip dana, termasuk kumpulan di Sumatera Utara.
“Kaedah ini lazim digunakan sejak 1980-an oleh gerakan pengganas, wang yang dikutip digunakan untuk membiayai serangan keganasan.
“Ia semakin popular dan dipercayai lebih berkesan berbanding kaedah kutipan dana lain termasuk merompak bank, kerana ia berupaya mengumpulkan wang dengan risiko yang minimum,” katanya.
Khairul dikenakan hukuman penjara selama lima tahun kerana melindungi pengganas yang terbabit dalam serangan maut, berikutan rompakan bank CIMB Niaga pada 2010 di Medan.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, menggesa orang ramai bertenang selepas republik itu menyaksikan satu lagi serangan pengganas Rabu lalu, walaupun tiada yang terkorban.
Tengah hari Rabu lalu, seorang wanita memasuki ibu pejabat Polis Nasional atas alasan mahu mencari pejabat pos dan melepaskan tembakan di hadapan bangunan Jabatan Siasatan Jenayah, sebelum ditembak mati anggota keselamatan.
Kejadian itu berlaku tiga hari selepas pasangan baru berkahwin menganggotai kumpulan pengganas Jamaah Ansharut Daulah (JAD) meletupkan diri di hadapan sebuah gereja di Makasar. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




