Hulk Hogan bimbang Tyson maut di tangan Paul

Hulk Hogan bimbang Tyson maut di tangan Paul

Los Angeles: Hulk Hogan melahirkan kebimbangannya mengenai pertarungan Mike Tyson dan Jake Paul dengan mendakwa bekas selebriti YouTuber itu mungkin menjadi ‘pembunuh’ ketika menentang Iron Mike pada November depan.

Hogan, rakan rapat Tyson dan legenda gusti profesional itu bimbang dengan jurang usia ketara keduanya, 58 tahun dan 27 tahun apatah lagi dengan masalah kesihatan Tyson baru-baru ini yang boleh mendatangkan bahaya kepada ikon tinju itu.

Hogan menyuarakan kerisauannya ketika siaran podcast kelmarin dan merujuk Paul terlalu kuat serta menakutkan sebelum menegaskan dia mampu ‘membunuh’ Tyson di gelanggang.

Komen Hogan itu susulan status kesihatan Tyson pada Mei lalu sehingga menyebabkan pertarungannya dengan Paul yang sepatutnya berlangsung Julai ditunda November depan.

Tyson yang berusia 58 tahun didapati tidak sihat termasuk pening dan mual ketika dalam penerbangan dari Miami ke Los Angeles sehingga memaksa kru kabin membuat pengumuman meminta bantuan doktor dalam kalangan penumpang.

Namun Iron Mike menegaskan dia lebih daripada berkemampuan untuk bertarung dengan Paul dan meminta peminat tidak risau dengan tahap kesihatannya menjelang pertarungan pada November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top