London: Ipswich Town melengkapkan pembelian pemain tengah Serbia, Sasa Lukic dari Fulham dengan kontrak sehingga 2030, ketika kelab itu membuat persiapan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Nilai perpindahan tidak didedahkan kedua-dua kelab, namun The Athletic melaporkan urus niaga itu bernilai sekitar £9 juta (RM48 juta).
Lukic, 29, hadir dengan pengalaman luas di peringkat tertinggi apabila mengumpul 62 kaps bersama Serbia selain hampir 100 penampilan dalam EPL bersama Fulham.
Sebelum berhijrah ke England, Lukic terlebih dahulu mencipta nama bersama Torino dalam Serie A selain pernah dipinjamkan ke kelab Sepanyol, Levante.
“Saya pernah beraksi di Portman Road dalam EPL dan suasananya antara yang terbaik pernah saya rasai.
“Saya tidak sabar untuk beraksi di sini sebagai pemain tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Lukic menyifatkan dirinya sebagai pemain box-to-box yang sentiasa memberikan segala-galanya di atas padang.
“Saya teruja untuk bertemu semua orang dan memulakan perjalanan ini,” katanya.
Lukic menjadi pemain kelapan yang ditandatangani Ipswich pada jendela perpindahan musim panas ini ketika kelab itu memperkuatkan skuad bagi menghadapi cabaran kembali ke EPL.
Ipswich akan berusaha memastikan kekal dalam saingan tertinggi England di bawah kendalian pengurus baharu Gary O’Neil, yang dilantik pada Jun selepas Kieran McKenna meninggalkan jawatan itu selepas lima musim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




