am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 12 lembu seludup bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, di sini, 1.15 tengah hari semalam.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), rampasan berkenaan dilakukan di sektor kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
“Ketika kejadian, pasukan operasi yang bertugas mengesan tiga orang awam melakukan aktiviti penyeludupan haiwan dengan membawa masuk kesemua lembu merentasi sungai cetek dari Thailand ke Malaysia.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek melarikan diri yang mana dua daripada mereka menyeberangi Sungai Golok ke Thailand, manakala seorang lagi memandu pacuan empat roda ke arah jalan utama dan meninggalkan kesemua lembu terbabit.
“Anggota kemudian merampas kesemua haiwan ternakan berkenaan dan membuat laporan di
Balai Polis Lalang Pepuyu, di sini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Haiwan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang, manakala kes penyeludupan ini akan disiasat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




