JOHOR BAHRU – Grab Malaysia mengesahkan akaun pemandu e-hailing yang dikaitkan dengan video tular membabitkan seorang penumpang yang didakwa menghina al-Quran dan agama Islam kekal aktif serta tidak dikenakan sebarang tindakan setakat ini.
Menurut Grab Malaysia, tiada tindakan diambil terhadap akaun pemandu berkenaan kerana beliau tidak berada di bawah sebarang siasatan ketika syarikat itu meneliti insiden tersebut.
Katanya, pihak syarikat turut menghubungi pemandu terbabit bagi memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya kerana setiap rakan-pemandu berhak menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat dan dihormati.
Penjelasan itu dibuat susulan hantaran seorang pemandu e-hailing di media sosial yang mendakwa akaun Grab miliknya berkemungkinan akan disekat secara kekal susulan video tular berkenaan.
Menerusi hantaran itu, individu terbabit mendakwa menerima maklumat daripada pihak yang disifatkannya sebagai “orang atasan” bahawa akaunnya berkemungkinan dikenakan tindakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata reda dengan apa juga keputusan yang bakal diterima dan menganggap tindakannya sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan agama.
“Alhamdulillah. Apa pun yang jadi, saya reda. Apa yang saya buat ini ikhlas kerana Allah, demi agama Allah, kalam suci Allah dan Rasulullah.
“Kalau terpaksa hilang dunia pun tidak mengapa, asalkan jangan hilang agama,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut mendakwa tidak kesal sekiranya akaun Grab miliknya disekat secara kekal kerana berpendapat tindakan itu berlaku ketika beliau mempertahankan agama.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya agama Islam dihina, dicaci atau difitnah.
Pada akhir hantaran itu, beliau melahirkan rasa syukur dan berharap dikurniakan rezeki yang lebih baik, halal serta diberkati untuk dirinya dan keluarga.
Sementara itu, Grab Malaysia menggalakkan semua rakan-pemandu mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi syarikat sekiranya mempunyai sebarang keraguan berhubung sesuatu isu.
Menurut syarikat itu, pemandu digalakkan merujuk Rakan Representative Committee (RRC) atau platform media sosial rasmi Grab seperti Facebook dan TikTok Rakan Grab serta tidak bergantung kepada spekulasi atau maklumat daripada sumber tidak rasmi.
Grab turut menegaskan Kod Etika syarikat digubal bagi melindungi rakan-pemandu dan pengguna platform dengan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk diskriminasi, ucapan kebencian serta gangguan.
“Tidak ada sebarang akaun akan digantung atau dinyahaktifkan tanpa siasatan yang menyeluruh serta bukti kukuh berhubung pelanggaran dasar,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi dua minit 20 saat memaparkan seorang lelaki yang dipercayai penumpang e-hailing didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam ketika berada di dalam sebuah kenderaan di bandar raya ini pada Jumaat.
Dalam rakaman itu, penumpang berkenaan didakwa mendakwa al-Quran mengajar mengenai pembunuhan.
Bagaimanapun, pemandu e-hailing terbabit dilihat membidas kenyataan tersebut dan meminta penumpang berkenaan berhati-hati ketika berbicara mengenai agama Islam.
Beliau turut menegaskan supaya agama Islam tidak dihina sebelum penumpang terbabit dipercayai meminta maaf dan keluar daripada kenderaan selepas ia berhenti di tepi jalan.
Insiden itu mendapat perhatian polis yang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Grab Malaysia memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.



