KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan mereka ke pusingan kedua Terbuka China.
Gandingan kesembilan dunia itu mudah mengenepikan cabaran wakil India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath dengan keputusan straight set 21-14, 21-11 dalam satu perlawanan yang berlangsung selama 26 minit.
Tang Jie-Ee Wei yang masih segar dengan kejayaan di Terbuka Korea awal bulan ini dijadual bertemu wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja di pusingan kedua, esok.
Prestasi Tang Jie-Ee Wei dilihat semakin menunjukkan kematangan selepas menamatkan kempen Paris 2024 di suku akhir yang dilihat sebagai titik kepada lonjakan prestasi mereka ketika ini.
Sebaik selesai tugasan di Paris, Tang Jie-Ee Wei menyertai Terbuka Jepun yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di pentas suku akhir sebelum melakar kemenangan di Terbuka Korea.
Mereka kemudian berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Hong Kong minggu lalu namun tewas di tangan gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 14-21, 21-23.
“Sudah tentu, Olimpik adalah pentas yang tertinggi untuk semua atlet dan kami belajar banyak perkara di situ. Sudah tentu kami harus lebih matang selepas itu (Olimpik) dan dapatkan melakukan sesuatu yang lebih baik,” kata Ee Wei.
Dalam pada itu, Tang Jie turut menambah Paris mengajar mereka untuk lebih menekankan aspek komunikasi dengan jurulatih dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada.
“Saya fikir, komunikasi antara kami dan jurulatih adalah paling penting dan cuba mencari apakah yang perlu diperbaiki lagi. Selain itu, kami juga perlu bijak untuk menjaga fizikal terutama apabila perlu mengharungi kejohanan berturut-turut,” kata Tang Jie.
Terdahulu, gandingan beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri terpaksa melupakan perjalanan mereka selepas tewas di tangan gandingan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Hon Jian-Haikal terpaksa akur apabila tewas straight set 10-21, 18-21 di tangan beregu ketiga dunia berkenaan.
Min Hyuk-Seung Jae dijadual bertemu satu lagi wakil negara di pusingan kedua esok, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang sebelum itu menewaskan wakil tuan rumah, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17, 21-19, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd


