asyikin.mat@hmetro.com.my
TIDAK ramai wanita mengetahui keperluan ‘membelai’ wajah sekurang-kurangnya sebulan sekali secara rutin.
Ia melalui urutan sengkak atau totok wajah yang mempunyai banyak manfaat untuk kecantikan wajah.
Urutan itu sesuai kepada wanita yang mementingkan penjagaan dan penampilan wajah.
Malah ia umpama pelengkap kepada penjagaan asas wajah yang lebih sempurna secara tradisional.
Pemilik pusat kecantikan Spa PMC Beauty & Herbs, Faten Syahira Mohd Hanapi, 30, berkata, sengkak wajah ialah teknik urutan di beberapa titik di bahagian wajah untuk melancarkan peredaran darah.
“Salah satu sebab mengapa wajah kelihatan kusam kerana tidak mendapat bekalan oksigen secukupnya.
“Apabila peredaran darah lancar, ia akan membekalkan oksigen secukupnya di dalam liang saraf permukaan kulit yang menjadikan wajah berseri, segar dan bermaya serta menaikkan aura” katanya.
Menurutnya, antara kebaikan lain urutan itu ialah urutan pada beberapa titik penting di bahagian wajah dapat memberikan ketenangan wajah yang sekali gus dapat menghilangkan tekanan.
“Urutan sengkak wajah ini boleh menaikkan tulang pipi, mengurangkan dagu berlapis dan meruncingkan wajah.
“Sebaiknya lakukan urutan ini dua minggu sekali untuk mendapatkan kesan ketara dan membuatkan wajah kelihatan muda daripada usia sebenar,” katanya.
Faten Syahira berkata, urutan itu bermula di titik bahagian tulang dagu untuk merangsang peredaran darah.
Seterusnya urutan di titik tepi bibir dan atas bibir untuk mengelakkan kedutan di bahagian berkenaan.
“Kemudian urutan tepi hidung dan menekan bahagian bawah pipi untuk menaikkan tulang pipi.
“Urutan diteruskan ke bahagian tulang tepi pipi dan kawasan zon T untuk menghilangkan tekanan di bahagian mata serta sakit kepala,” katanya.
Faten Syahira berkata, pada asalnya rawatan sengkak wajah dilakukan kepada ibu berpantang untuk menaikkan seri wajah.
Menurutnya, urutan itu mendapat permintaan daripada pelanggan yang datang ke spa miliknya.
“Ramai terlepas pandangan kepentingan mengurut wajah kerana lebih memberi tumpuan kepada urutan badan.
“Selepas seharian otot wajah ‘bekerja’ menjadikannya stres dan menyebabkan wajah mudah letih serta penat
“Maka urutan ini diperlukan untuk merehatkan dan mengencangkan semula otot wajah kembali segar,” katanya.
Katanya, sebab itu urutan sengkak wajah penting terutamanya wanita berusia 30 tahun ke atas dan disarankan melakukannya secara rutin.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia mempelajari urutan sengkak wajah daripada kakak iparnya, sebelum mengikuti kursus lanjutan bagi mendalami teknik urutan berkenaan.
“Saya menceburi bidang ini sejak lima tahun lalu yang mana sebelum itu beroperasi secara mobile rumah ke rumah.
“Malah saya mendapati kesedaran wanita terhadapan kepentingan urutan sengkak wajah semakin meningkat.
“Pelanggan boleh merasai perbezaan wajah selepas melakukan urutan sengkak wajah. Ini membuatkan mereka datang kembali untuk urutan,” katanya.
Menurutnya, ada pelanggannya mengalami kesukaran untuk tidur malam dan kini masalah itu sudah pulih selepas melakukan urutan sengkak wajah.
“Kita tidak hanya melakukan urutan sengkak wajah tetapi merangkumi urutan di kepala dan dada kerana di bahagian ini ada titik penting urutan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
