‘Fazura, Fattah tak macam itu’

‘Fazura, Fattah tak macam itu’

KUALA LUMPUR: Pelbagai spe­kulasi buruk yang mula terpalit terhadap pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin berhubung isu peribadi dan keberantakan rumah tangga mereka menyebabkan DJ Sonic terpanggil mele­raikan tanggapan negatif yang bertebaran.

Penyampai radio Nasional FM itu berkata, bukan niatnya mencampuri urusan rumah tangga pasangan popular terbabit, namun hatinya tidak betah melihat begitu banyak spekulasi negatif ditabur pihak tertentu mengenai Fazura dan Fattah.

Bagaimanapun, DJ Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein, 45, berkata, sebagai kenalan rapat Fazura, dia hanya mampu mengulas mengenai peribadi aktres itu dari sudut kaca matanya.

“Apa yang saya tulis di Instagram Story baru-baru ini tentang kebaikan Fazura, itu betul. Saya kenalinya sejak 2011, sepanjang tempoh itu sehingga sekarang, Fazura yang saya kenali memang seorang yang baik hati.

“Bila saya memuji diri­nya, bukan bermaksud menidakkan kebaikan Fattah. Orang jadi salah sangka sebab saya cakap tentang Fazura. Walhal, saya kemudiannya ada menyebut Fattah juga merupakan seorang individu yang baik.

“Tak sangka pula ramai menyerang saya dalam media sosial hanya kerana saya puji kebaikan Fazura. Ramai yang salah faham,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

DJ Sonic berkata, hubungan baiknya dengan aktres popular berkenaan bukan sekadar sahabat, tetapi turut mempunyai pertalian keluarga dengannya.

“Ramai tahu saya rapat de­ngan Fazura sebagai sahabat. Tetapi tak ramai tahu saya ada pertalian keluarga dengan dia. Sepupu rapat saya berkahwin dengan abang keduanya dan secara tak langsung menyebabkan kami akrab.

“Saya pun tak mencanang pada orang tentang ini sebab ia privasi. Cuma terpaksa beritahu sekarang sebab ramai ingat saya sibuk nak masuk campur de­ngan isu Fazura, Fattah.

“Percayalah, sama ada Fazura dan Fattah, mereka tak seperti yang diperkatakan. Di mata saya, kedua-duanya sa­ngat baik, ahli keluarga mereka baik,” katanya.

Menurutnya lagi, secara peribadi, dia juga tidak mahu hal buruk (perceraian) Fazura dan Fattah berlaku dan sentiasa mendoakan yang baik buat mereka.

“Terus-terang, saya pun menangis bila isu rumah tangga mereka tular. Tetapi kita semua pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Semua orang nak hubungan mereka menjadi normal semula begitu juga saya.

“Lebih baik kita semua doakan yang baik-baik buat mereka berdua. Saya nak cakap lebih-lebih pun bukan kelayakan saya untuk berbuat demikian,”katanya.

Pada 13 September lalu, aktres dengan nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin dikhabarkan telah memfailkan perceraian terha­dap Fattah di Mah­kamah Rendah Sya­riah Pe­taling, Subang Bestari, Shah Alam.

Kebelakangan ini juga isu keretakan rumah tangga mereka hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.

Malah, lebih mengeruhkan keadaan, wujud tohmahan daripada warganet di pelbagai platform bahawa Fattah berlaku curang dengan wanita yang sebelum ini pernah menjadi penata gaya hijab isterinya. – UTUSAN

Scroll to Top