ICQS Pengkalan Kubor lengang susulan serangan di selatan Thailand

am@hmetro.com.my

Tumpat: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, lengang susulan insiden keganasan di wilayah selatan Thailand sejak malam kelmarin.

Lazimnya menjelang cuti umum, kompleks ICQS itu meriah pada sebelah petang dengan kenderaan yang beratur dan orang ramai yang mahu memasuki sempadan menuju ke Tak Bai di wilayah Narathiwat.

Bagaimanapun tinjauan petang tadi mendapati kenderaan dari Thailand lebih banyak memasuki pintu sempadan negara, malah situasi sama turut dilihat di jeti bot yang kebanyakannya dipenuhi warga Thailand yang bekerja di sini.

Penjaga kaunter bot yang ingin dikenali sebagai Emi, 40-an berkata, sejak siri insiden keganasan berlaku, dapat dilihat rakyat tempatan kurang ke selatan Thailand.

“Jika ada sekalipun hanya untuk rutin harian termasuk ke Pasar Tak Bai di seberang Sungai Golok ini dan sebaik selesai urusan jual beli, mereka terus pulang.

“Menjelang cuti sekolah ini, kemungkinan petang Khamis orang akan kembali ramai tapi rasanya tidak semeriah dahulu… ramai masih takut dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Farah Amirah Syaharuddin, 31, aktiviti melancong ke Narathiwat dikurangkan kerana risiko serangan yang boleh membahayakan nyawa.

“Biasanya apabila ke sana, memang akan makan angin ke Narathiwat dulu dan cari beberapa lokasi makan tapi apabila berlaku kejadian letupan malam kelmarin, kami pun tidak berani untuk tinggal lama-lama di tempat orang,” katanya.

Kerisauan yang sama disuarakan Subiah Che Mat, 27, yang menetap di Tak Bai dan berulang alik ke Malaysia kerana bekerja di kedai makan di Pengkalan Kubor.

“Suami saya bekerja sebagai anggota keselamatan di Sungai Padi yang terletak dalam wilayah Narathiwat dan setiap masa akan menghubungi saya sambil berpesan untuk menjaga diri… tidak keluar rumah jika tiada urusan.

“Di kampung saya, walaupun kejadian yang berlaku agak jauh dari Tak Bai, tapi kami tidak berani keluar waktu malam memandangkan pernah juga terjadi letupan sebegitu sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top