Daripada pemandu e-hailing ke kerusi pengurus besar

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas tujuh bulan bekerja sepenuh masa sebagai pemandu e-hailing, Dr Khairul Baqir AlKhair Khairul Amin atau mesra disapa Dr K kembali menceburi dunia korporat dengan menjadi pengurus besar di sebuah syarikat perunding kajian klinikal.

Dr K, 35, berkata, dia mula bertugas sejak awal bulan ini dan menerima tawaran itu daripada rakan lama yang memerlukan khidmatnya dalam mengembangkan perniagaan.

Akuinya, dia sangat bersyukur atas peluang diberikan, malah gembira kerana skop kerjanya ketika ini berkaitan kelulusan akademiknya.

“Jadi tak lari mana dan tiada masalah nak sesuaikan diri kerana saya memang ada pengalaman dalam sektor korporat.

“Syukur segalanya dipermudahkan. Jika dulu sibuk mengambil dan menghantar penumpang ke destinasi dituju, sekarang banyak berurusan dengan doktor perubatan juga ahli akademik. Kebanyakan klien daripada hospital,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, baru-baru ini.

Berhubung kerjaya sebagai pemandu e-hailing, Dr K berkata, dia masih menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Saya tak tinggalkan terus malah tetap buat (pemandu e-hailing) sebab sudah sebati dengan saya.

“Alhamdulillah, tak ada masalah nak teruskan kerana waktu kerja sekarang pun agak fleksibel, jadi tiada masalah untuk saya teruskan.

“Ia lebih baik kerana boleh cari duit poket serta melatih diri saya supaya tidak terlalu selesa walaupun sudah ada pekerjaan tetap,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kisah Dr K yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Bio Teknologi dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Bahan dan Teknologi, namun mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing.

Dr K pernah menimba pengalaman kerja selama enam tahun dalam dunia korporat sebagai penyelaras latihan dan penyelidik, ketua pegawai operasi dan pengurus besar di syarikat swasta.

Bagaimanapun, bapa tunggal kepada dua anak itu mula menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa sejak awal tahun ini sebagai ikhtiar hidup selepas tamat kontrak kerja dan tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top