farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan dan rakyat perlu berani melakukan pembaharuan dan meninggalkan pendekatan lapuk bagi memastikan Malaysia mencapai tahap pembangunan lebih tinggi.
Anwar berkata, semua pihak perlu berani melakukan pembaharuan dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan serta menghasilkan impak yang nyata.
“Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan meraikan kejayaan syarikat-syarikat tempatan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026.
“Ia sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan, daya saing, inovasi dan ketahanan perniagaan dalam mendepani persaingan global,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Anwar berkata, data cipta dan inovasi adalah kekuatan utama industri yang mesti terus diperkasa melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan serta transformasi teknologi.
Katanya, pemain industri perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan, meningkatkan produktiviti dan meneroka pendekatan baharu yang lebih berdaya saing.
“Semoga kemajuan sektor perindustrian terus membawa manfaat kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan peningkatan taraf hidup,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




