MELAKA – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat memberi kelebihan untuk meraih kemenangan, namun jentera parti tidak boleh terlalu selesa dan perlu terus bekerja keras.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, kerjasama itu berpotensi membantu BN mencapai kemenangan lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha berterusan tetap diperlukan bagi memastikan kemenangan, mengambil kira kepelbagaian latar belakang dan pendekatan dalam parti.
“Sudah semestinya kerjasama ini memberi kelebihan. Namun, kita tidak boleh selesa dan perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan sebelum ini dapat dikekalkan, malah mungkin mencapai kejayaan lebih besar.
“Kerja keras tetap perlu dilaksanakan kerana parti ini mempunyai pelbagai latar belakang. Jadi, kita sebagai ahli parti perlu terus bekerja dan tidak boleh berasa selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran jentera pilihan raya DUN Pantai Kundor yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas kemungkinan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan, Tuminah berkata, keputusan itu diserahkan kepada kebijaksanaan Ketua Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin dan Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka.
Katanya, kepastian mengenai calon hanya akan diketahui menerusi pengumuman rasmi calon BN pada malam ini.
“Sudah tentu saya mahu mempertahankan kerusi yang disandang ini, namun perjalanan masih jauh dan banyak perkara yang perlu dilaksanakan.
“Pilihan raya pada 14 November ini menjadi penentu. Bagi saya, kesiapsiagaan jentera, kesatuan dan kerjasama berpasukan adalah perkara paling penting,” katanya.
Beliau menegaskan seluruh jentera perlu bersatu dan bersedia menghadapi sebarang cabaran bagi memastikan kemenangan BN di Melaka.



