Skuad B-19 negara benam Oman

Skuad B-19 negara benam Oman

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 tahun negara (B-19) melaungkan amaran mereka adalah antara pencabar utama selepas membenam Oman 2-1 pada perlawanan pertama kumpulan E Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20), sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido mempamerkan aksi cemerlang apabila mampu menyerap setiap serangan lawan daripada mencipta sebarang jaringan.

Skuad kendalian Ahmed Mubarak Al Alawi terlebih dahulu menguji gawang Malaysia pada minit ke-20 menerusi Said Ghasib Al Ghanboosi namun sepakan percuma pemain itu sedikit tersasar sekali gus melegakan kem negara.

Ketika Oman sibuk melakukan serangan ke kubu lawan, Malaysia pula terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi Moses Raj yang bijak menyempurnakan hantaran Haykal Danish untuk kedudukan 1-0.

Babak kedua bermula menyaksikan corak perlawanan seimbang yang ditampilkan kedua-dua pasukan dengan masing-masing kerap mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Pasukan muda negara terus mengukuhkan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Haykal dijatuhkan pertahanan Oman Adnan Khamis Al Mushairi.

Haykal dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.

Malaysia membuat dua tukaran pemain dengan memasukkan Izzat Muhammad dan Afiq Hakimi bagi memperkuatkan jentera pertahanan dan tengah bagi mengelak dibolosi lawan.

Gol yang dinantikan Oman akhirnya menjelma ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum tamat apabila pasukan itu dihadiahkan sepakan penalti sebelum disempurnakan Majid Al Farsi untuk kedudukan 2-1.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Malaysia yang beraksi dalam kumpulan E memperoleh tiga mata penting dalam usaha melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Malah, kemenangan itu meniup semangat pemain muda negara untuk mencipta keputusan positif pada pertemuan menentang Korea Utara Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top