Puas bergambar di Pura

Puas bergambar di Pura

hafizithnin@mediaprima.com.my

RASANYA sudah lebih 10 tahun penulis tidak menjejak kaki ke destinasi yang paling popular di Indonesia ini. Apa lagi jika bukan Bali yang mengambil masa tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Tatkala tiba di Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai, ia nampaknya amat berbeza ketika 10 tahun lalu. Semakin sibuk dan begitu ramai pelancong. Malah, untuk melepasi pagar imigresen juga memakan masa yang lama dek ketibaan pelancong asing.

“Selamat menempuh ‘macet’ (kesesakan jalan raya) sebaik sahaja kau tiba di Kuta,” peringatan rakan penulis yang sudah bermastautin di Bali sebaik sahaja penulis memberi khabar mengenai hasrat untuk ke sana.

Ternyata peringatan itu bukan cakap kosong kerana penulis hampir sejam ‘tersidai’ di atas jalan raya dalam kenderaan sewa dari lapangan terbang ke hotel yang hanya terletak di Kuta iaitu sekitar 12 kilometer (km) sahaja.

Sebenarnya kehadiran penulis ke Bali kali ini bukan sekadar untuk makan angin semata-mata, tapi untuk menyertai acara larian denai ultra iaitu Bali Ultra Trail di Kintamani.

Hasrat untuk menyertai perlumbaan berstatus antarabangsa itu memerlukan penulis untuk dua kali menempuh Gunung Batur setinggi 1,717 meter dari aras laut dan pelbagai laluan berbukit untuk kategori 80 kilometer (km) yang dihidangkan kepada peserta menyertai kategori jarak berkenaan. Ketinggian terkumpul bagi jarak itu hampir 4,300 meter.

Sebelum ke Kintamani bagi menyertai perlumbaan itu bersama rakan sepasukan dari Malaysia, penulis membuat keputusan untuk menerokai beberapa lokasi menarik dan popular di Bali bermula dari Kuta berakhir di Kintamani. Jarak antara dua lokasi itu kira-kira 60km atau mengambil masa lebih dua jam.

Bagi menjimatkan masa dan kos, penulis bersama seorang rakan pasukan dari Malaysia menggunakan khidmat ‘supir’ (pemandu) kerana lebih mudah untuk mengatur ke lokasi yang menarik untuk diterokai.

Seawal jam 3 pagi kami sudah bersedia di lobi hotel untuk dibawa ‘supir’ ke destinasi pertama penerokaan sehari itu iaitu ke Pura Penataran Agung Lempuyang di Karangasem iaitu sekitar dua jam dari Kuta.

Jadual untuk bergerak awal itu kerana ‘supir’ memaklumkan dia tidak mahu kami mendapat nombor giliran yang lewat untuk merakam gambar di salah satu lokasi paling mendapat perhatian pelancong jika bertandang ke pura itu.

Sebaik tiba di pura waktu masih gelap, tetapi pelancong lain sudah ada lebih awal kami untuk menaiki pengangkutan ulang- alik dari tempat parkir ke pura berkenaan yang terletak di atas bukit.

Bagi memasuki pura itu, pelancong diwajibkan untuk memakai pakaian dikhaskan iaitu kain sarung dan perempuan perlu menutup badan mereka menggunakan kain yang disediakan.

Melangkah masuk sahaja ke dalam pura itu, mata kami berdua terpana melihat keindahan Gunung Agung dari jauh iaitu gunung paling tinggi di Bali berketinggian 3,031 meter. Langit biru bersulam jingga kerana matahari terbit menjadikan panorama lebih dramatik.

Untuk merakam gambar di kawasan paling strategik berlatar belakang Gunung Agung itulah yang memerlukan pelancong mengambil nombor giliran dan terdapat komuniti tempatan yang bertugas untuk mengambil gambar pelancong menggunakan telefon pintar masing-masing.

Melihat kepada gambar yang dirakam bagaikan pantulan dari air, tetapi sebenarnya perakam gambar itu menggunakan pantulan cermin bagi mendapatkan kesan berkenaan.

Puas merakam gambar di pura itu, kami meneruskan perjalanan ke Taman Tirta Gangga tidak jauh dari pura berkenaan menggunakan pengangkutan yang kami sewa.

Di lokasi ini juga menjadi perhatian pelancong kerana ia mempunyai pelbagai tarikan untuk bergambar. Di taman ini terdapat kolam yang besar dan ikan koi bersaiz besar serta banyak menghuni di dalamnya.

Tidak sekadar itu, latar belakang taman bersih dan kehijauan menjadikan ia lokasi amat menarik untuk bersiar-siar bersama keluarga serta sesuai untuk dijadikan lokasi merakam gambar yang cantik.

Lokasi seterusnya kami ke Menanga untuk merasai pengalaman mengambil gambar di atas buaian dihayunkan dari atas bukit dan begitu terkenal dalam kalangan pelancong untuk mengambil gambar bersama gaun kembang yang menarik.

Di lokasi itu, pelancong boleh menyewa pelbagai jenis gaun kembang bagi wanita untuk mendapatkan gambar menarik dan juga beberapa sudut bergambar yang lain.

Rakan penulis memilih gaun kembang berona merah jambu yang cukup terang dan ketika buaian itu dihayunkan dengan laju, ternyata busana itu memberikan kesan yang cukup menarik seperti seorang puteri berada di langit.

Antara lokasi lain yang boleh merakam gambar di lokasi itu ialah di atas pokok yang dibuat seperti sarang burung dan terdapat sarang burung kedua di bawahnya juga untuk bergambar.

Puas sesi bergambar dan menikmati makan tengah hari di Menanga kami menuju ke Air Terjun Goa Raja di Jehem iaitu di bahagian Timur Bali. Dari tempat parkir ke lokasi air terjun itu perlu berjalan kaki sekitar 15 minit.

Kehadiran kami ke Goa Raja sememangnya tidak disesali kerana air terjun yang unik melimpah di dalam gua menjadi panorama utama dan sudah tentu merakam gambar menarik menjadi fokus utama di lokasi itu.

Destinasi terakhir ialah di Kintamani dan di lokasi ini tidak boleh disangkal mengenai dunia panorama gunung yang cukup memukau kerana selain daripada Gunung Batur terdapat juga Gunung Abang iaitu gunung ketiga tertinggi di Bali berketinggian 2,152 meter dan juga kelihatan danau atau tasik terbentang luas dari pandangan mata burung.

Di Kintamani tidak perlu khuatir mengenai penginapan kerana di sini banyak hotel dan resort. Malah, ia menjadi destinasi pelancong yang gemarkan pemandangan tanah tinggi dan amat dingin.

Penerokaan penulis di Kintamani cukup puas kerana menerusi perlumbaan larian Bali Utra Trail sejauh 80km itu bukan sahaja menguji kemampuan daya tahan larian jarak jauh malah menikmati pelbagai pemandangan indah yang sukar untuk digambarkan dengan sebarang susunan aksara.

Terbit di dalam hati penulis, mungkin ini caranya negara seberang mempromosikan pelancongan mereka menerusi sukan lasak sejak 2022 dan begitu ramai peserta antarabangsa menyertainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top