Seorang dibawa keluar, 4 lagi masih dalam gua Laos

Seorang dibawa keluar, 4 lagi masih dalam gua Laos

Vientiane: Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar seorang daripada tujuh lelaki yang terperangkap di dalam sebuah gua separa tenggelam di Laos pada Jumaat, menurut pasukan yang bertugas di lokasi kejadian.

Kesemua lelaki itu terperangkap di sebuah gua di kawasan pergunungan terpencil di wilayah tengah Xaysomboun sejak 20 Mei lalu, selepas banjir kilat menyekat laluan ketika mereka mencari emas, menurut laporan awal media rasmi.

Lima daripada mereka ditemukan masih hidup pada Rabu, dan berlindung di dalam ruang sempit dalam gua kira-kira 300 meter (m) dari pintu masuk gua.

Rakaman video oleh penyelam penyelamat menunjukkan mereka dalam keadaan lemah, berlumpur dan tertekan selain mengadu sakit dada serta kelaparan, manakala baki dua lagi ahli kumpulan itu masih belum ditemukan.

“Mangsa pertama berjaya dibawa keluar dari gua,” menurut kenyataan pasukan penyelamat Thailand menerusi hantaran di Facebook lewat Jumaat, yang turut memaparkan gambar tiga anggota penyelamat membantu seorang lelaki yang basah kuyup dan berlumpur di atas tanah yang tidak rata.

Sebelum ini, operasi menyelamat tertumpu kepada usaha mengepam keluar air banjir monsun yang memenuhi gua dan memerangkap kumpulan berkenaan.

“Seorang mangsa sudah keluar dari gua dengan selamat,” kata anggota pasukan penyelamat Thailand, Kengkard Bonggawong dalam hantaran Facebook berasingan.

Katanya, keadaan empat lagi mangsa yang ditemukan akan dinilai sebelum operasi diteruskan, manakala usaha mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang dijadualkan disambung esok.

Awal hari ini, pasukan penyelamat Thailand menjalani latihan prosedur pemindahan mangsa di luar gua menggunakan usungan, tali dan kabel, berdasarkan imej yang dikongsi di media sosial.

Pejabat Meteorologi Laos meramalkan ribut petir pada petang dan malam Jumaat dengan hujan dijangka melanda kira-kira 60 peratus kawasan di wilayah Xaysomboun.

Sementara itu, kumpulan baharu penyelam pakar tiba di Laos pada Jumaat termasuk anggota dari Thailand, Perancis, Indonesia dan Australia, menurut pasukan penyelamat Thailand.

Situasi kecemasan itu mengimbau insiden pasukan bola sepak remaja Thailand pada 2018 yang terperangkap selama 18 hari di dalam sebuah gua di utara Thailand, sebelum mereka diselamatkan menerusi operasi antarabangsa yang mencabar.

Dua penyelam yang terbabit dalam operasi menyelamat 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka itu kini membantu sukarelawan Laos selepas penduduk tempatan memohon sokongan tenaga kerja dan peralatan khusus.

Penyelam Finland, Mikko Paasi yang juga sebahagian daripada pasukan penyelamat kumpulan bola sepak “Wild Boars” di Thailand berkata pada Rabu bahawa pasukan penyelamat kini berlumba dengan masa” untuk mengeluarkan mangsa dari gua berkenaan.

Menurut seorang kakitangan logistik Laos yang bertugas dengan syarikat pembekal kenderaan bagi operasi menyelamat, hujan pada keesokan harinya menyebabkan lebih banyak tanah dan air memasuki gua.

Katanya, operasi menyelamat mungkin berlanjutan selama beberapa hari lagi sekiranya hujan berterusan.

Media tempatan Laos turut melaporkan bahawa beberapa anggota pasukan penyelamat menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas menghabiskan antara tujuh hingga 10 jam pada satu-satu masa di dalam sistem gua berkenaan sambil membawa tangki oksigen, peralatan menyelamat dan bekalan logistik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top