Syed Yazid tak 'goyang', sedia lawan kem Abdullah Sani

Syed Yazid tak 'goyang', sedia lawan kem Abdullah Sani

firdaushashim@hmetro.om.my

Kuala Lumpur: Ibarat berdepan gergasi besar, lima individu bergelar Datuk terpaksa bergabung tenaga untuk menundukkan calon pilihan presiden, Syed Yazid Syed Omar menjelang pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada 12 Oktober ini.

Lima individu terbabit adalah pemangku Presiden KLFA ketika ini, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Pengarah filem dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki; Penasihat Setiawangsa Rangers FC, Datuk Azril Mat Drus; bekas timbalan pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

Difahamkan, Abdullah Sani bakal mencabar Syed Yazid untuk jawatan presiden, manakala Afdlin Shauki dan Azril akan bertanding bagi kerusi timbalan presiden diikuti dua lagi untuk naib presiden.

Biarpun sebelum ini dilaporkan Afdlin Shauki dan Azril akan bertanding untuk jawatan presiden, strategi itu terpaksa diubah bagi mengelak pecahan undi yang kemungkinan bakal memihak Syed Yazid pada kongres pemilihan itu nanti.

Berdasarkan rekod Syed Yazid sepanjang 11 tahun bersama KLFA, banyak pencapaian dilakar anak muda kelahiran Kuala Lumpur (KL) itu termasuk pernah dilantik pelbagai jawatan daripada pengurus pasukan skuad remaja KL, Naib Presiden hinggalah diberi amanah sebagai Ahli Lembaga Pengarah KL City.

Terbaharu, Syed Yazid selaku pengurus pasukan Sukma Wilayah Persekutuan berjaya menghadiahkan pingat emas acara bola sepak buat pertama kali dalam sejarah temasya sukan terbesar negara itu.

Kemuncak penglibatan dalam organisasi bola sepak sudah tentunya kejayaannya memenangi pemilihan Kongras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2021 lalu.

Hasil kemenangan itu, Syed Yazid dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak tempatan dengan diberi tanggungjawab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM serta turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Biarpun usianya dilihat masih muda, hampir separuh kelab gabungan KLFA berada di belakangnya sekali gus memaksa ‘satu pakatan’ terpaksa dibentuk bagi menentang calon hangat itu.

Begitupun Syed Yazid tidak cepat melatah, bahkan mengakui sedia berdepan pencabar pada pemilihan itu nanti.

“Saya percaya kelab gabungan tahu siapa yang buat kerja selama ini. Ia bukan soal satu-satu kelab, tetapi keseluruhan pembangunan bola sepak yang berlaku dalam KL ini.

“Kelab gabungan cukup matang untuk menilai dan membuat pilihan. Saya serahkan kepada kelab-kelab gabungan untuk mencorakkan masa depan bola sepak KL,” katanya.

Difahamkan, esok satu mesyuarat khas bakal diadakan bagi mengesahkan pencalonan untuk setiap jawatan dengan calon Presiden perlu mendapat sokongan 40 peratus daripada 28 kelab yang berdaftar.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, setiap calon perlu mendapatkan 35 peratus dan 30 peratus pencalonan untuk jawatan yang ingin ditandingi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top