Pada hari akhirat kelak terdapat ujian yang akan disediakan oleh Allah SWT bagi setiap orang yang mahu melihat-Nya, sama ada mereka benar-benar mengenali-Nya atau tidak. Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Beberapa orang sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah kami akan dapat melihat Tuhan kami pada hari kiamat nanti?” Lalu baginda bersabda: ‘Adakah kamu menghadapi kesulitan untuk melihat matahari yang tidak dihalangi oleh awan?’ Mereka menjawab: ‘Tidak, wahai Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu menghadapi kesulitan untuk melihat bulan pada malam purnama yang tidak dihalangi oleh awan?’ Mereka menjawab: ‘Tidak, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kamu akan melihat-Nya seperti itu pada hari kiamat nanti. Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu berfirman: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu, hendaklah dia mengikutinya.’ Maka, sesiapa yang menyembah matahari akan mengikuti matahari, sesiapa yang menyembah bulan akan mengikuti bulan dan sesiapa yang menyembah para taghut (sembahan selain Allah) akan mengikuti para taghut tersebut. Dan yang tinggal hanyalah umat ini yang turut bersamanya golongan munafik. Lalu, Allah mendatangi mereka dalam sifat yang tidak mereka kenali, lalu Allah berfirman: ‘Akulah Tuhanmu.’ Namun, mereka berkata: ‘Kami berlindung dengan Allah daripada-Mu. Ini adalah tempat kami sehinggalah Tuhan kami datang kepada kami. Apabila Tuhan kami datang, kami pasti mengenali-Nya.’ Seterusnya, Allah mendatangi mereka dalam sifat yang mereka kenali (iaitu tidak menyerupai sesuatu pun) lalu berfirman: ‘Akulah Tuhanmu.’ Maka, mereka pun berkata: ‘Engkaulah Tuhan kami.’ Lantas, mereka mengikuti-Nya, dan titian (sirat) neraka Jahanam pun dibentangkan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tidak lagi berbaki melainkan orang yang menyembah Allah, sama ada orang yang taat mahupun yang berdosa serta saki-baki Ahli Kitab. Lalu kaum Yahudi pun dipanggil dan ditanya kepada mereka: ‘Apakah yang kamu sembah dahulu?’ Mereka menjawab: ‘Kami dahulu menyembah Uzair anak Allah.’ Maka dikatakan kepada mereka: ‘Kamu berdusta! Allah tidak mempunyai isteri mahupun anak. Jadi, apakah yang kamu inginkan sekarang?’ Mereka menjawab: ‘Kami kehausan, wahai Tuhan kami, berilah kami minum.’ Lalu, diisyaratkan kepada mereka: ‘Tidakkah kamu mahu pergi ke tempat air itu?’ Lantas, mereka dihimpunkan menuju ke neraka yang kelihatan seolah-olah fatamorgana yang saling menghempas antara satu sama lain, lalu mereka pun berjatuhan ke dalam neraka.”
Kemudian, kaum Nasrani pula dipanggil dan mereka juga akhirnya berjatuhan ke dalam neraka. Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sehingga apabila tidak lagi berbaki melainkan orang yang menyembah Allah Taala sama ada orang yang taat mahupun berdosa maka datanglah Tuhan sekalian alam SWT kepada mereka dalam sifat yang paling hampir daripada sifat yang mereka ketahui bagi-Nya. Allah berfirman: ‘Apakah yang kamu tunggu lagi? ‘Setiap umat telah pun mengikut apa yang mereka sembah dahulu.’ Mereka menjawab: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah memisahkan diri kami daripada manusia di dunia dahulu (demi menjaga agama) ketika kami amat memerlukan mereka (dalam urusan seharian), namun kami tidak pun berdamping dengan mereka.’ Lalu, Allah berfirman: ‘Akulah Tuhan kamu.’ Mereka berkata: ‘Kami berlindung dengan Allah daripada-Mu! Kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.’ Mereka mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali, hinggakan sebahagian mereka hampir-hampir goyah dan berpaling. Lalu, Allah bertanya: ‘Apakah ada di antara kamu dan Dia tanda yang membolehkan kamu mengenali-Nya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Maka, disingkapkanlah kedahsyatan (suasana akhirat itu). Ketika itu, tidak tertinggal seorang pun yang dahulunya sujud kepada Allah dengan penuh ikhlas melainkan Allah akan mengizinkannya untuk sujud. Dan tidak tertinggal seorang pun yang dahulunya sujud hanya kerana berpura-pura dan riyak melainkan Allah akan menjadikan belakang badannya seperti satu kepingan yang keras kaku. Setiap kali dia cuba untuk bersujud, dia akan jatuh terlentang di atas tengkuknya. Setelah sujud, mereka pun mengangkat kepala masing-masing manakala Allah telah menukar kepada sifat-Nya yang mereka ketahui bagi-Nya pada kali pertama (yang tidak menyerupai sesuatu pun). Lalu, Allah berfirman: ‘Akulah Tuhan kamu.’ Maka, mereka pun berkata: ‘Engkaulah Tuhan kami.’ Kemudian, titian pun dibentangkan di atas neraka Jahanam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Demikianlah ujian terakhir bagi setiap orang yang mendakwa beriman kepada Allah SWT. Mereka yang mengenali-Nya dengan sifat-Nya yang tidak menyerupai sesuatu pun daripada makhluk-Nya, walaupun sebelumnya mereka tidak pernah melihat-Nya akan terselamat.
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd
